KEADAAN cermin lori yang dipecahkan suspek.
KEADAAN cermin lori yang dipecahkan suspek.

Kajang: Berang diberhentikan kerja menyebabkan seorang lelaki melepaskan geram dengan bertindak memecahkan cermin tiga lori milik majikannya.

Suspek berusia 27 tahun itu dipercayai memecah masuk bangunan syarikat terletak di Taman Kajang Baru, di sini, awal pagi kelmarin, untuk melakukan perbuatan khianat itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kejadian itu disedari pengadu yang juga pekerja di syarikat berkenaan ketika dia datang bekerja jam 9 pagi kelmarin.

“Pengadu nampak cermin sisi pada bahagian pemandu dan penumpang tiga lori syarikatnya pecah dipercayai angkara khianat.

“Pengadu kemudian segera membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Dia mendakwa seorang bekas rakan sekerjanya ada menghubungi dan mengugut mahu melakukan perkara tidak baik,” katanya.

Ab Rashid berkata, pihak polis kemudian segera mengesan suspek dan berjaya menahannya di sebuah lokasi di daerah Kajang untuk membantu siasatan.

“Suspek pernah memujuk rakannya itu supaya berhenti selain mengugut akan memecahkan cermin lori,” katanya.

Rashid berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 507 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 7:20 AM