Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat ke atas kenderaan milik dua kru penerbitan filem Mentega Terbang di Kajang dan Ampang, semalam, didalangi suspek sama.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya percaya perbuatan itu didalangi individu atau pihak yang sama berdasarkan siasatan dilakukan mendapati ia dilakukan menggunakan modus operandi serupa.

"Setakat ini, tiada individu lain selain pengadu (dua kru penerbitan filem berkenaan) yang dipanggil untuk diambil keterangan.

"Keterangan kedua-dua pengadu dalam kes ini sudah diambil sewaktu mereka tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kenderaan milik Khairi Anwar Jailani dan Arjun Thanaraju yang juga pengarah dan penulis skrip Mentega Terbang disimbah cat dan asid serta ditinggalkan nota ugutan bunuh.

Kejadian pertama di tempat letak kereta terbuka di Taman Dagang Jaya di Ampang, 6.30 pagi semalam dengan pengadu memaklumkan Proton Saga disimbah cat selain menemui helaian kertas nota ditinggalkan berdekatan dengan kereta.

Katanya, helaian nota ditinggalkan suspek itu mengandungi tulisan perkataan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu.

Kejadian kedua pula berlaku 3.15 pagi di Kajang dan pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang memaklumkan kenderaannya dibaling plastik lutsinar berisi cecair cat.

Menurutnya, pengadu turut menemui satu sampul surat warna putih yang ditulis perkataan berunsur ugutan jenayah dan menerima mesej berunsur ugutan jenayah terhadap diri dan keluarganya melalui telefon.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas perbuatan khianat.

Berita berkaitan:

Pengarah Mentega Terbang diugut bunuh

Polis buka kertas siasatan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 6:47 PM