SUSPEK
SUSPEK
Mohd Fahmi Mohd Yusof

Johor Bahru: Lelaki berusia 30-an dikehendaki polis negeri ini bagi membantu siasatan kes khianat mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai bagi tujuan jenayah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, mengikut maklumat diperoleh, suspek sama dipercayai terbabit dengan kejadian khianat mesin ATM di Cheras, Selangor bulan lalu.

Katanya, polis menerima maklumat daripada pegawai sebuah bank cawangan di Nusa Bestari, Skudai pada 7.31 malam kelmarin yang memaklumkan sebuah mesin ATM khas rosak dan kepingan logam tersangkut pada tempat memasukkan kad di mesin berkenaan.

“Pengadu memaklumkan pada jam 8.55 pagi dia diberitahu oleh pengawal keselamatan bank mengenai mesin ATM mengalami kerosakan di mana tempat memasukkan kad sudah rosak.

“Apabila pihak bank membuat pemeriksaan fizikal didapati kepingan besi dijumpai terlekat di dalam mesin itu dan segera membuat laporan kepada pembekal mesin NCR bank.

“Jurutera NCR yang datang pada jam 2.30 petang untuk melakukan pemeriksaan menemui alat kepingan logam yang tidak diketahui melekat pada saluran kad itu, dipercayai alat pemutar wang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:10 AM