GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Gara-gara tidak tahan dengan bunyi bising dari rumah jirannya, seorang lelaki bertindak memecahkan cermin kereta jirannya itu dalam kejadian di Jalan 1/23b Pandan Indah, di sini, pada 29 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun.

"Menurut pengadu, dia meletakkan kereta Honda Civic miliknya di tempat letak kereta di lokasi terbabit jam 10.20 pagi, 28 Jun lalu.

"Pada 6 pagi keesokannya, pengadu mendapati cermin bahagian belakang kereta itu retak dan berlubang disyaki akibat perbuatan khianat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di tepi jalan lokasi kejadian pada 12 tengah hari pada 1 Ogos lalu.

"Hasil soal siasat dilakukan mendapati punca kejadian itu adalah kerana suspek yang juga pengawal keselamatan menuduh mangsa yang tinggal di tingkat atas membuat bising menyebabkannya tidak selesa.

"Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, manakala ujian air kencing juga negatif dadah," katanya.

Katanya, suspek direman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas perbuatan khianat harta benda.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam apa-apa perbuatan ugutan jenayah dan khianat ke atas harta benda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 4:18 PM