ANGGOTA penguat kuasa memeriksa mesin pencetak DVD yang dirampas.
ANGGOTA penguat kuasa memeriksa mesin pencetak DVD yang dirampas.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Taktik sindiket pengedaran cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah menjadikan sebuah rumah teres mewah tiga tingkat sebagai markas operasi terbongkar apabila diserbu semalam.

Rumah terletak di Taman Perumahan di Seri Kembangan, dekat sini, itu diserbu sepasukan penguat kuasa Unit Operasi Harta Intelek, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Putrajaya kira-kira jam 1.30 petang.

Ketua Seksyen Harta Intelek, Bahagian Penguatkuasa Putrajaya Othman Nawang berkata, hasil serbuan pihaknya merampas ribuan DVD cetak rompak dan lucah bernilai kira-kira RM400,000.

Menurutnya, pihaknya turut merampas 34 unit mesin pencetak yang mampu menghasilkan 11 keping DVD dalam masa beberapa minit.

“Kami terpaksa memecahkan pintu belakang rumah berkenaan selepas mendapati ia berkunci sebelum menemui kepingan DVD yang sudah siap dibungkus dan diletakkan di dalam kotak untuk dipasarkan,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, siasatan mendapati tingkat dua dan tiga kediaman itu dijadikan lokasi memproses dan menghasilkan DVD cetak rompak manakala aras bawah tempat pembungkusan.

Beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan pihaknya kerana percaya anggota sindiket sudah melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 7:22 AM