Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Kira-kira 80,000 Video Cakera Digital (DVD) cetak rompak dan lucah dianggar bernilai RM500,000 dirampas dalam serbuan di dua premis dijadikan stor penyimpanan di sebuah pusat membeli belah, 5 petang tadi.

Serbuan dilakukan sepasukan 10 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri selepas dua minggu melakukan risikan.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK negeri Suhaimi Mat Sari berkata, rampasan membabitkan DVD pelbagai tajuk filem dan lucah.

"Serbuan di premis pertama kami menemui 60,000 keping DVD manakala di satu lagi stor 20,000 lagi DVD cetak rompak dirampas," katanya.

Pihaknya turut merampas buku mengandungi butiran tempahan DVD daripada pelanggan.

Kes disiasat mengikut Akta Hakcipta 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 7:42 PM