Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang merampas 1,500 cakera padat digital (DVD) cetak rompak berjumlah kira-kira RM8,000 dan menahan lima suspek dalam serbuan di beberapa premis sekitar bandar ini, semalam.

Pemangku Ketua JSJK Pahang Deputi Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, serbuan serentak dilakukan di lima premis itu menahan suspek berusia 20 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis.

"Siasatan awal mendapati semua premis menggunakan taktik mempamerkan DVD asli bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Tetapi apabila pemeriksaan dilakukan, mereka didapati turut menjual DVD cetak rompak," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Penapisan Filem 2002 kerana menjalankan kegiatan penjualan DVD tanpa sijil perakuan B.

Mohd Wazir turut menasihatkan orang ramai agar tidak membeli dan memiliki DVD cetak rompak kerana perbuatan itu mendorong kegiatan berkenaan semakin berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 5:58 PM
MOHD Wazir menunjukkan DVD cetak rompak yang dirampas dalam serbuan di Kuantan, semalam.FOTO Luqman Hakim Zubir
MOHD Wazir menunjukkan DVD cetak rompak yang dirampas dalam serbuan di Kuantan, semalam.FOTO Luqman Hakim Zubir