PEGAWAI KPDNKK merampas hampir  10,000 cakera padat digital cetak rompak dari sebuah premis di Subang Jaya, semalam.
PEGAWAI KPDNKK merampas hampir 10,000 cakera padat digital cetak rompak dari sebuah premis di Subang Jaya, semalam.
Oleh Mohd Fadly Samsudin

Subang Jaya: Berang dengan kedegilan sindiket mengedar cakera padat digital (DVD) cetak rompak menyebabkan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor ‘menyapu’ bersih semua DVD cetak rompak dari sebuah premis diserbu.

Dalam operasi jam 6 petang semalam, pihak KPDNKK mendapati premis terletak di sebuah pusat beli belah di Subang Jaya itu, masih menjual DVD perisian komputer dan DVD permainan video komputer walaupun pernah diambil tindakan.

Berikutan itu pihak KPDNKK tidak ‘memberi muka’ apabila merampas kesemua DVD cetak rompak itu yang dipamerkan di rak khas dan disimpan di dalam stor premis.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yaakob berkata, operasi Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) itu dilakukan bagi membendung kegiatan menjual DVD cetak rompak terutama di pusat beli belah terkemuka.

Menurutnya, seramai tujuh anggota KPDNKK melakukan penyamaran sebelum menyerbu premis berkenaan.

“Bagaimanapun tiada penahanan terhadap pemilik premis dilakukan berikutan penjaga premis berusia lingkungan 20-an sempat melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 5,674 DVD perisian komputer serta 3,895 DVD permainan video komputer disita berikutan tidak mempunyai label cakera optik yang sah dengan nilai dianggarkan RM107,938,” katanya.

Beliau berkata, semua barangan yang dirampas kemudiannya dibawa ke stor penyimpanan untuk semakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 6:36 AM