ROGAYAH (kanan) bersama anak dan cucunya mengambil upah mengupas kulit bawang untuk menambah pendapatan keluarga.
ROGAYAH (kanan) bersama anak dan cucunya mengambil upah mengupas kulit bawang untuk menambah pendapatan keluarga.

Ulu Tiram: “Saya juga mahu hidup selesa serta memiliki rumah seperti orang lain dan berharap impian itu menjadi kenyataan,” kata Rogayah Yunos, 51, yang hidup serba kekurangan di rumah usang di Batu 16, Kampung Banjar, Sungai Tiram di sini.

Rogayah, tinggal di rumah milik bapa saudaranya itu sejak enam tahun lalu bersama dua anak berumur 20 dan 13, dua cucu berumur dua dan empat tahun serta seorang menantu.

Menurut Rogayah, kepayahan hidup memaksa dia mengambil upah mengupas kulit bawang bagi meringankan beban menantunya, Mohamad Farizan Selamat, 27, yang hanya bekerja sebagai pemungut buah.

“Sebelum ini, saya tinggal di Bukit Benut, Kluang dan berpindah ke sini selepas ditinggalkan suami yang pulang ke Indonesia.

“Sejak itu, saya memulakan hidup baru bersama anak, menantu serta cucu dan mujurlah bapa saudara mempelawa kami tinggal di sini.

“Pada mulanya, saya bekerja sebagai penjual besi buruk, namun keadaan kesihatan tidak mengizinkan memaksa saya bertukar pekerjaan dengan mengambil upah mengupas kulit bawang meskipun hanya menerima pendapatan 10 sen bagi setiap kilogram,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan dan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di sini, semalam.

Sumbangan hamper dan RM1,000 itu disampaikan Pegawai MAIJ Daerah Johor Bahru Nor Hisham Md Shawal.

Rogayah yang menghidap darah tinggi berkata, dia bercadang berpindah ke rumah lebih selesa, tetapi hasrat itu terbantut berikutan masalah kewangan.

Katanya, kedudukan rumahnya kini agak jauh dan menyukarkannya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik kerana perlu berjumpa pegawai perubatan setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 10:40 AM