Kawasan Kampung Pak Koja yang turut dinaiki air. FOTO Nor Amalina Alias
Kawasan Kampung Pak Koja yang turut dinaiki air. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Sebuah keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol, di sini, selepas rumah mereka dinaiki air, jam 9.40 pagi tadi.

Rogayah Ismail, 63, suami, Awang Hamat, 76, dan cucu, Nor Qistina Abdullah, 7, dari Kampung Pak Koja menjadi keluarga pertama mangsa banjir di Mahligai.

Rogayah berkata, mereka mengambil keputusan berpindah selepas kawasan rumah ditenggelami air setinggi dua meter.

"Suami mendukung cucu manakala saya membawa pakaian dan dokumen penting.

"Kami bersyukur kerana penduduk kampung membantu membawa kami ke pusat pemindahan sebelum air naik dengan lebih tinggi lagi," katanya ketika ditemui di SMK Pak Badol, di sini.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kawasan Mahligai Abdul Aziz Daud berkata, sebanyak enam kampung membabitkan 25 keluarga yang sering dilanda banjir.

"Antaranya, Kampung Pak Koja, Lubok Nibong, Pak Badol, Tasek, Pelunggur dan Mahligai dengan jumlah lebih 100 penduduk.

"Kita akan memantau dari semasa ke semasa dengan kekuatan seramai 20 ahli RELA yang bersiap sedia membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika berlaku banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 4:14 PM