ZAINOL (tiga dari kanan) bersama pegawai melawat penduduk yang dilanda banjir.
ZAINOL (tiga dari kanan) bersama pegawai melawat penduduk yang dilanda banjir.
KEADAAN rumah mangsa banjir yang dinaiki air di Kampung Batu 7, Changkat Jong.
KEADAAN rumah mangsa banjir yang dinaiki air di Kampung Batu 7, Changkat Jong.

Teluk Intan: Seorang bayi perempuan berusia 10 hari antara 326 dari 98 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di sini, semalam.

Ibu bayi berkenaan, Rozita Shaari, 34, meluahkan rasa syukur kerana berada di pusat pemindahan banjir apabila rumahnya di Lorong Asam Kumbang dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Ibu kepada empat anak itu berkata, keadaan bayinya sihat dan tidak mengalami sebarang masalah walaupun terpaksa tinggal di tempat kurang selesa di sekolah berkenaan.

Semua mangsa adalah dari Kampung Batu 9, Batu 11, Lorong Setia, Lorong Mesra, Batu 7, Lorong Kedah, Batu 8 dan Lorong Assam Kumbang, Batu 8 di Changkat Jong, dengan sebahagian daripada sudah berada di situ sejak Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin semalam melawat pusat pemindahan serta lokasi banjir bersama Pegawai Daerah Hilir Perak Mohd Zamari Ramli dan wakil dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah.

Menurutnya, punca banjir lambat surut kerana hujan lebat sejak beberapa hari lalu mengakibatkan air dari Sungai Bidor melimpah masuk ke Sungai Sungkai Mati dan Sungai Seluang sehingga benteng di tebing sungai berkenaan pecah menyebabkan air melimpah masuk ke penempatan terbabit termasuk beribu hektar ladang sawit turut ditenggelami air.

“Saya sudah mengarahkan JPS segera bertindak memantau lokasi berkaitan dan agensi itu sudah memanggil kontraktor bagi melakukan kerja baik pulih dan membina semula benteng tebing sungai yang pecah.

“Kita berharap dengan langkah drastik ini membolehkan kawasan terbabit tidak lagi dilanda banjir kilat seperti ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perak, Mohd Nor Hassan Ashaari berkata, pihaknya mengerahkan 71 anggota dengan empat pegawai bagi memantau keadaan termasuk menyediakan 10 bot penyelamat.

Katanya, JPAM akan terus ditempatkan di situ sehingga banjir surut sepenuhnya dan semua penduduk dapat kembali ke rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 7:04 AM