AIR banjir di kawasan rumah penduduk di Changkat Jong mulai surut. FOTO ihsan APM
AIR banjir di kawasan rumah penduduk di Changkat Jong mulai surut. FOTO ihsan APM
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Mangsa banjir di Hilir Perak menurun kepada 95 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di sini, setakat 9.40 pagi, hari ini.

Jumlah itu berbanding 147 mangsa daripada 43 keluarga pada pagi semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Batu 4 di Changkat Jong menempatkan 38 orang daripada lapan keluarga.

Menurutnya, mereka terdiri daripada penduduk Kampung Batu 7, Jln Changkat Jong dan Batu 7 1/2, Lorong Mesra.

"Dewan Bandaran Teluk Intan pula menempatkan 57 orang membabitkan 16 keluarga.

"Mereka daripada Kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra; Batu 9 Changkat Jong, Batu 10 Jln Bidor, Batu 15 Kampung Ayer Hitam, Batu 6 Kampung Glouster dan Kampung Selat Manggis, Sungai Kerawai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, air di kebanyakan kawasan terjejas sudah surut cuma masih ada beberapa kawasan yang airnya masih bertakung di halaman rumah.

Katanya, paras air di halaman rumah setinggi 0.5 meter dan mengambil sedikit masa untuk proses pengepaman air keluar.

"Pam dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengepam air dari kawasan Lorong Mesra ke Sungai Sungkai Mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 10:24 AM