Keadaan banjir di Kampung Malau, Lenggong. FOTO Ihsan APM
Keadaan banjir di Kampung Malau, Lenggong. FOTO Ihsan APM
Muhammad Apendy Issahak


DUA lagi daerah di Perak dilanda banjir menjadikan keseluruhan tiga daerah terjejas iaitu Batang Padang, Hilir Perak dan Hulu Perak dengan jumlah mangsa dipindahkan hari ini seramai 194 penduduk.

Jurucakap Sekretariat Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, setakat 7.30 pagi tadi tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka bagi menempatkan kesemua penduduk yang terjejas.

Menurutnya, PPS yang dibuka adalah membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak; Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Klah Baru, Sungkai di daerah Batang Padang dan Dewan Orang Ramai Kampung Malau, Lenggong dalam daerah Hulu Perak.

“PPS SK Changkat Jong menempatkan 92 penduduk daripada 23 keluarga, manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Klah Baru seramai 81 penduduk membabitkan 27 keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Malau pula menempatkan 21 mangsa daripada lapan keluarga.

“Di Hilir Perak, kampung yang terjejas adalah Kampung Batu 9, Batu 7, Batu 8, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Batu 8 (Lorong Sidang Osman) dan Batu 8 (Belakang Klinik Desa) dan PPS dibuka bermula 11 malam tadi.

“Banjir di Hulu Perak membabitkan Kampung Malau Baru dengan PPS dibuka pada 11 malam susulan hujan lebat berterusan menyebabkan air Sungau Malau meningkat dan melimpah membanjiri rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, daerah Batang Padang pula, bilangan mangsa dipindahkan meningkat kepada 81 penduduk berbanding 72 orang malam tadi, namun laluan utama kampung itu yang ditenggelami air sudah surut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 9:34 AM