Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan sekitar Mukim Changkat Jong pagi ini yang dinaiki air banjir susulan Sungai Bidor melimpah. FOTO IHSAN APM.
Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan sekitar Mukim Changkat Jong pagi ini yang dinaiki air banjir susulan Sungai Bidor melimpah. FOTO IHSAN APM.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Mangsa banjir di Perak pagi ini kekal 64 orang daripada 17 keluarga yang ditempatkan di satu pusat pemindahan sementara (PPS), tidak berubah berbanding jam 8 malam tadi.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 pagi memaklumkan, semua mangsa berlindung di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di daerah Hilir Perak yang dibuka secara rasmi jam 6 petang Sabtu lalu.

Kawasan terjejas banjir membabitkan Batu 7; Batu 8; Batu 9; Lorong Kedah; Lorong Belakang Klinik; Lorong Sidang Osman; Lorong Imam Khairi dan Lorong Mesra dalam Mukim Changkat Jong, di sini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dekat sini mencecah 3.71 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50 m.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula melaporkan penutupan jalan persekutuan di dua daerah lain berikutan laporan tanah runtuh.

Di Batang Padang, JKR Perak sedang menyegerakan kerja pembaikan bahu jalan di FT1152 FELDA Trolak Selatan yang runtuh memandangkan ia adalah jalan utama dan membahayakan pengguna. Jalan dibuka satu lorong untuk semua kenderaan.

Di Selama, JKR Perak sedang menjalankan kerja pembersihan di A021 Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan dan jalan dibuka untuk semua kenderaan.

Bagi mengelakkan kesesakan, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 11:08 AM