MOHAMAD Naim memberi burung makan ulat.
MOHAMAD Naim memberi burung makan ulat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Burung murai batu yang dibeli daripada kenalan membawa tuah kepadanya apabila burung berkenaan menghadiahkan kemenangan kategori 'Best of The Best' dalam Pertandingan Seni Suara dan Gaya Murai Batu di Kelantan, baru-baru ini.

Kejayaan itu dianggap sebagai rezeki tidak dijangka Mohamad Naim Mohamad, 28, kerana peluang untuk memenangi kategori berkenaan adalah sukar yang mana hanya satu daripada 285 burung murai batu dipertandingkan, dipilih sebagai pemenang.

Menurutnya, dia tidak menyangka kemenangan itu kerana peringkat awal pertandingan terbabit, burung peliharaan kesayangannya hanya memenangi tempat ketiga.

"Ia sesuatu yang mengejutkan tetapi pada masa sama teruja kerana pertama kali memenangi kategori 'Best of The Best' dalam pertandingan yang besar.

"Saya juga tidak menyangka burung ini memberikan persembahan terbaik dalam pusingan kedua pertandingan dengan menonjolkan kemerduan suara kicauan, gaya dan petik ekor," katanya.

Mohamad Naim yang menetap di Pasir Puteh berkata, dia memiliki burung berkenaan sejak dua tahun lalu selepas membelinya daripada kenalan berharga RM3,000.

Katanya, mengikut rekod burung itu sudah menyertai banyak pertandingan iaitu kira-kira 10 kali dan lima pertandingan sejak bersama dengannya.

"Saya memberikan burung ini nama BP adalah mengikut singkatan asal usulnya iaitu Balik Pulau, Pulau Pinang.

"Malah saya meminati burung murai batu kerana terpikat dengan kemerduan kicauan suaranya.

"Setiap pagi, mendengar kicauan suara membuatkan rasa seolah-olah berada di dalam hutan yang menerbitkan ketenangan," katanya.

Katanya, dia tidak mempunyai kaedah penjagaan burung yang khusus. Lazimnya setiap pagi dia akan 'mengembunkan' burung itu selama sejam antara jam 6 hingga 7 pagi, memberi makanan serangga hidup dan dedak.

Manakala pemenang tempat pertama kategori pusingan, Che Ammar Zakaria, 34, pula berkata, burung murai batu peliharaannya berusia empat tahun itu, baru empat kali menyertai pertandingan dan tidak pernah gagal meraih kemenangan.

Menurutnya, kelebihan burung itu mempunyai ekor sepanjang 25.4 sentimeter (cm), suara kicauan yang kuat dan pandai memetik ekor.

"Burung ini hasil 'pembiakan' yang saya lakukan bersama rakan. Seperti pemilik burung murai batu, saya turut 'mengembunkannya' setiap hari dari jam 6.30 hingga 7 pagi.

"Ini adalah petua diajar orang lama bertujuan untuk menguatkan daya ketahanan badan," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh jagaan, burung itu dibesarkan dalam sangkar dan akan aktif memasuki pertandingan hingga fasa bulu gugur iaitu setiap lapan bulan sekali.

"Selepas itu akan tumbuh bulu baharu yang lebih cantik. Tetapi masih mengekalkan bulu asal iaitu hitam, oren dan putih.

"Pencapaian burung ialah bergantung kepada cara penjagaan dilakukan pemiliknya," katanya.

Che Ammar berkata, burung jantan miliknya dinamakan 'spider' kerana suka membuat aksi lincah dalam pertandingan.

"Jangka hayat burung ini setakat saya pernah pelihara sebelum ini ialah bertahan selama 10 tahun dan ada individu lain pelihara mencecah hingga usia 16 tahun.

"Kelincahan burung ini sentiasa menambat hati peminat burung murai batu dan pernah ditawarkan RM20,000 untuk dijual tetapi saya tidak berminat serta akan terus memeliharanya," katanya.

Sementara itu penganjur pertandingan terbabit Adnan Harun berkata, pertandingan seump

ama ini sudah banyak kali dianjurkan di Kelantan tetapi julung kali diadakan berskala besar yang turut membabitkan peserta dari seluruh negeri.

"Burung murai batu adalah haiwan berlesen yang menyebabkan ramai memeliharanya

"Untuk pertandingan setiap burung akan dinilai berdasarkan suara kicauan, kecantikan bulu gaya, petik ekor dan menonjolkan diri.

"Pertandingan kali ini membabitkan kerjasama Pelancongan Negeri Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 7:00 AM