DUA suspek sindiket berkenaan ditahan dan semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Senggarang. FOTO Ihsan PDRM
DUA suspek sindiket berkenaan ditahan dan semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Senggarang. FOTO Ihsan PDRM
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berjaya menumpaskan sindiket menyeludup burung murai batu dan burung murai kampung ke negara jiran bernilai RM121,300.00, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, dalam Op Benteng Covid-19 pada jam 3.40 petang itu, polis berjaya mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan di kawasan tepi laut di Parit Botak.

"Menyedari kehadiran pasukan serbuan, pemandu bertindak memecut kenderaannya hingga ke kawasan ladang sawit di Kampung Baru, Senggarang.

"Ketika pasukan serbuan menghampiri kenderaan itu, pemandu bertindak melarikan diri," katanya dalam kenyataan dekat sini.

Muhd Zailani berkata, polis kemudiannya meluaskan kawasan pencarian bagi mengesan suspek sebelum berjaya memberkasnya.

"Hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku bertindak sebagai pengurus penghantaran burung ke negara jiran.

"Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Senggarang untuk proses dokumentasi.

"Seorang lelaki tempatan menyerah diri dan mengaku terbabit secara langsung dalam kegiatan berkenaan sebagai penghantar yang menggunakan van yang dirampas itu," katanya.

Katanya, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 29 tahun itu serta berjaya merampas 206 ekor burung murai batu, 680 ekor burung murai kampung, van dan motosikal.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 60(2) Akta Hidupan Liar 2010 dan kesalahan membabitkan spesis Common Shama (Copsychus malabaricus) melebihi 20 kepala.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM50,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 3:50 PM