SEBAHAGIAN sangkar  berisi burung murai batu.
SEBAHAGIAN sangkar berisi burung murai batu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


BUKAN calang-calang harga ditawarkan berikutan seekor burung murai batu (copsychus malabaricus) berasal dari Malaysia boleh dijual mencecah 100 juta Rupiah (RM29,435) seekor di pasaran gelap Indonesia.

Walaupun ada pelbagai spesies burung murai tempatan di republik itu, namun kemerduan suara burung murai batu Malaysia dianggap sukar ditandingi menyebabkan hidupan liar dilindungi itu terus diseludup secara besar-besaran ke negara jiran.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, terbaru sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang, Johor berjaya menumpaskan tindakan sindiket yang cuba menyeludup keluar burung murai batu tempatan secara besar-besaran.

Menurutnya, dalam operasi jam 11 pagi semalam, polis menyerbu sebuah premis di Felda Adela, Kota Tinggi, Johor.

ANGGOTA PPM Pengerang dan Perhilitan melakukan pemeriksaan terhadap premis diserbu di Kota Tinggi, Johor.
ANGGOTA PPM Pengerang dan Perhilitan melakukan pemeriksaan terhadap premis diserbu di Kota Tinggi, Johor.

“Tiada tangkapan dilakukan, namun pihak polis menemui 165 bekas dan sangkar disembunyikan di dalam premis itu.

“Ada juga 335 ekor burung murai batu yang dipercayai mahu diseludup keluar ke negara jiran. Bagaimanapun, cubaan itu dipatahkan oleh polis susulan maklumat diperoleh,” katanya.

Menurutnya, semua rampasan itu kemudian dibawa dan diserahkan ke Pejabat Perhilitan Bandar Penawar di sini, untuk tindakan lanjut

Ditanya mengapa burung murai batu sering ditangkap dan cuba diseludup ke negara jiran, beliau tidak menafikan faktor suara merdu haiwan itu menyebabkan ia menjadi tarikan penggemar burung di sana.

Menurutnya, tindakan menyimpan burung murai batu yang juga hidupan liar dilindungi boleh didakwa mengikut Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

ANTARA sangkar berisi 335 ekor burung Murai Batu  di sebuah premis di Kota Tinggi.
ANTARA sangkar berisi 335 ekor burung Murai Batu di sebuah premis di Kota Tinggi.

Ini adalah rampasan terbaru selepas PPM Wilayah Dua Johor menahan tiga lelaki dipercayai cuba menyeludup burung murai batu bernilai RM487,160 ke negara jiran dalam serbuan di Jalan Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Kota Tinggi pada Isnin lalu.

Tiga individu berusia 38 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi Op Landai sekitar jam
1.30 pagi.

Hasil pemeriksaan menemui raga masing-masing berisi pelbagai jenis burung dilindungi iaitu sebanyak 442 burung murai batu dan 551 burung murai kampung dianggarkan bernilai RM487,160.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 6:01 AM