GABUNGAN bakat muda mempunyai cerita tersendiri yang diterjemahkannya
GABUNGAN bakat muda mempunyai cerita tersendiri yang diterjemahkannya
Zaara Talita


EMPAT penyanyi rap underground berbakat besar dan berpengalaman iaitu Sora, WenRowl, AlifWauYa (Awie) dan G-Mon tampil dengan single berjudul I Dont Mind.

Lagu berkenaan dilancarkan di bawah label ACE Talents walaupun mereka tidak popular di industri muzik arus perdana.

Pihak pengurusan juga mengambil risiko mempertaruhkan I Dont Mind yang diedarkan Def Jam Recording.

Sora, 24, yang juga penari breakdance profesional dan bakal mewakili negara di Sukan Olimpik Paris 2024 berkata, idea untuk mencuba nasib di arus perdana tercetus secara spontan.

"Idea di sebalik kerjasama ini datangnya daripada saya sendiri apabila terdetik di hati untuk mencuba nasib di arus perdana. Saya menghubungi Wen, Awie dan G-Mon menyatakan hasrat untuk bergabung dalam satu lagu menceritakan mengenai kisah perjalanan seni kami secara kolektif.

"Hasrat saya diterima baik dan kami berempat mencurahkan isi hati melalui lirik dan terhasillah I Don't Mind. Berbekalkan semangat serta pengalaman, ini adalah titik mula kami memulakan kerjaya di bidang nyanyian.

"Kami berharap I Don't Mind dapat diterima ramai dan semoga pendengar terhibur dengan karya kami. Dengarkan dengan hati yang terbuka dan selami maksud yang mungkin ada kena-mengena dengan hidup anda juga," katanya.

I Don't Mind yang dicipta komposer muda, Momo dari kumpulan Unknown dan Hann Worsnop turut mendapat sentuhan Sora, Awie, WenRowl dan G-Mon.

Sementara itu, WenRowl yang juga pengurus di syarikat penerbitan media berkata, lagu itu mengenai individu yang enggan mempedulikan kata-kata orang sekeliling yang begitu dekat dengan mereka berempat.

"Lagu ini sebenarnya menceritakan mengenai jerih payah seseorang tanpa mempedulikan apa yang orang sekeliling katakan. Setiap daripada kami mempunyai cerita tersendiri dan kami terjemahkannya ke dalam lagu.

BERHARAP lagu I Don’t Mind dapat diterima ramai dan semoga pendengar terhibur dengan karya mereka ini.
BERHARAP lagu I Don’t Mind dapat diterima ramai dan semoga pendengar terhibur dengan karya mereka ini.

"Kalau diamati bait-bait liriknya 'hustle tiap waktu, waktu untuk hustle' yang bermaksud perjuangan seseorang dalam mengejar cita-citanya kerana tidak semua orang melalui perkara yang sama dan masing-masing ada kisah yang berbeza," katanya.

Taruhan pertama empat rapper ini adalah cubaan untuk melihat sejauh mana mereka mampu pergi dalam industri muzik hip hop tempatan.

"Saya dan Sora adalah sebahagian daripada Kerabat Hantu Familia yang juga kumpulan hip hop indie, manakala Awie dan G-Mon juga ada kumpulan mereka sendiri.

"Tiada istilah kami akan berpecah kerana masing-masing hadir secara sendiri dan berhak menentukan hala tuju masing-masing," katanya.

I Don't Mind mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan demi menghasilkan bunyi serta kualiti yang setara.

G-Mon berkata, pengalaman merakamkan lagu ini sangat menarik untuk diceritakan kerana mereka bermalam di studio milik Momo memerah idea untuk menghasilkan yang terbaik.

"Masing-masing membawa 'feel' yang berbeza dalam penyampaian rap agar ada variasi buat pendengar," katanya.

Lagu berdurasi 4 minit 36 saat ini membawa pendengar kembali ke era 1980-an dan 1990-an dengan rentak rap dalam nuansa old-school boom bap yang terkenal ketika era itu, namun masih segar dan relevan pada masa kini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACE Talents, Azuein Alonto berkata, dia berhasrat untuk membantu mengetengahkan bakat empat anak muda yang mampu mengorak langkah lebih jauh dalam bidang seni.

"Dalam usaha ACE Talents mempelbagaikan bakat yang ada, kami tidak teragak-agak untuk mengambil mereka sebagai artis di bawah pengurusan kami.

"Hip hop adalah salah satu cabang yang mempunyai pendengar di peringkat global dan dengan terlancarnya single I Don't Mind ini meletakkan lagi ACE Talents sebaris dengan label-label yang sedia ada.

"Langkah Sora, WenRowl, Awie dan G-Mon masih lagi panjang, namun mereka sepakat untuk mencuba nasib demi memperjuangkan kerjaya seni mereka di industri muzik Malaysia," katanya.

Lagu I Don't Mind boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengar menerusi aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Muzik video I Don't Mind juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Def Jam Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 6:58 AM