QABIL menunjukkan pasport dikeluarkan FEI.
QABIL menunjukkan pasport dikeluarkan FEI.
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Nurul Husna Mahmud


BUKAN hanya manusia memerlukan dokumen pengenalan diri atau pasport untuk merentas sempadan, haiwan juga perlu memiliki pengenalan diri.

Apatah lagi haiwan dipelihara memiliki nilai tinggi baik dari segi harga mahu pun nilai sentimental kepada pemiliknya.

Pasport mengandungi butiran haiwan kesayangan sangat membantu memudahkan urusan memindahkan atau membawa haiwan terbabit tatkala pemiliknya merentas sempadan.

Malah pasport juga memudahkan pihak berkuasa di sempadan mengesahkan rekod kesihatan dan imunisasi haiwan peliharaan.

Atlet ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Tan Sri Mahamad Fathil mengakui pasport haiwan antara dokumen penting dan wajib diperbaharui setiap kali kejohanan berlangsung.

"Pasport kuda diperlukan bagi syarat kelayakan untuk atlit atau pelumba kejohanan sukan berkuda bertanding.

"Seperti dalam sukan ekuestrian, hanya Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) yang berpangkalan Lausanne, Switzerland boleh mengeluarkan pasport khas untuk kuda yang menyertai kejohanan di Eropah atau negara luar.

"Permohonan perlulah melalui Persatuan Ekuestrian Malaysia jika pasport kuda mereka sudah melepasi tamat tempoh.

"Pasport kuda dikeluarkan

Persatuan Ekuestrian Malaysia hanya boleh diguna pakai bagi kuda yang dibawa masuk untuk aktiviti sukan ekuestrian domestik berbanding dokumen dikeluarkan FEI.

"Bukan sebarangan, kredibiliti pasport kuda dikeluarkan badan dunia itu menerusi prosedur ketat termasuklah memiliki pasukan veterinar berpengalaman yang sedia memeriksa keadaan dan latar belakang kuda.

"Dalam pasport kuda ada butiran termasuklah saringan kesihatan dan program vaksinasi setiap kuda kejohanan bagi memastikan haiwan itu sesuai untuk pertandingan terbabit," katanya.

Tambah Qabil, kuda untuk pertandingan adalah aset tidak ternilai dan mencecah jutaan ringgit menyebabkan keutamaan untuk setiap kuda memiliki pasport

"Rutin pemeriksaan kuda setiap kejohanan, diperiksa mengguna alat pengimbas khas yang berfungsi membaca cip yang 'ditanam' pada kuda.

PEMILIK haiwan peliharaan boleh memiliki pasport pengenalan dengan sejarah perubatan haiwan belaan mereka yang dikeluarkan pihak  Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
PEMILIK haiwan peliharaan boleh memiliki pasport pengenalan dengan sejarah perubatan haiwan belaan mereka yang dikeluarkan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Nombor siri atau perincian haruslah sepadan dengan pasport haiwan itu. Jika ia berbeza kemungkinan kelayakan bertanding lucut kerana dianggap sebagai satu percubaan menyeludup kuda lain untuk bertanding.

"Penggiat sukan berkuda juga terdiri daripada golongan elit termasuklah kerabat diraja dan sebagainya menyebabkan kuda juga memerlukan pasport setiap kali bertanding," katanya yang masih aktif menyertai kejohanan ekuestrian di Eropah.

Kata Qabil, pasport kuda juga menjadi rujukan pembuktian atau kredibiliti pemiliknya.

"Jika pemilik kuda ada pasport dan memperbaharuinya setiap tahun, ia juga dilihat sebagai 'bonus' andai ada jual beli kuda.

"Ketika ini kos untuk mendaftarkan pasport FEI, caj dikenakan RM950 dan boleh diperbaharui empat tahun sekali dengan nilai sama.

"Cumanya untuk pengenalan diri kuda, ada caj RM150 setiap tahun. Kesimpulannya kos termasuk pasport bukanlah mudah bagi pemilik haiwan peliharaan terbabit bagi tujuan pertandingan," katanya.

MELETAKKAN cip mikro di bawah kulit haiwan belaan yang didaftarkan adalah untuk memudahkan ia dikesan sekiranya haiwan kesayangan anda hilang atau dicuri.
MELETAKKAN cip mikro di bawah kulit haiwan belaan yang didaftarkan adalah untuk memudahkan ia dikesan sekiranya haiwan kesayangan anda hilang atau dicuri.

Sementara itu, seorang pengguna laman sosial, ShazGhaf turut berkongsi gambar pasport comel berwarna biru milik kucing kesayangannya yang kini sah bergelar 'Catizen Malaysia.'

Kucing yang berwarna oren bernama Floof Boi itu didaftarkan tiga tahun lalu dengan bayaran keseluruhan RM85 termasuk kos cip mikro dan vaksin.

Perkongsian beliau sememangnya mendapat reaksi positif ramai pemilik haiwan terutama kucing di negara ini untuk mendaftarkan si bulus kesayangan masing-masing.

"Diharap perkongsian ini dapat menggalakkan orang ramai terutama pemilik kucing untuk mendapatkan vaksinasi, meletakkan cip mikro dan dikembiri," katanya,

Untuk memiliki pasport berkenaan, pemilik boleh membuat permohonan di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri atau klinik veterinar yang diiktiraf Pendaftar Haiwan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 7:00 AM