MOHD Khamisan bersama koleksi ikan laga liar.
MOHD Khamisan bersama koleksi ikan laga liar.
Nurul Husna Mahmud

Kepuasan Mohd Khamisan Ab Sahri Falaki, 38, sebagai peminat tegar Betta liar atau 'Wild betta' apabila ikan itu mampu beraksi termasuk 'mengembangkan' insang dalam pertandingan.

Kata Mohd Khamisan, dia yang bermula dengan spesies Betta modern atau ikan laga hibrid, tertarik memelihara spesies liar kerana sifat 'genuine' dan cabaran 'groom' ikan terbabit bagi pertandingan.

"Pemain ikan Betta, apabila sudah terjebak pelihara spesies liar, mereka sukar beralih pelihara spesies hibrid kerana ciri-ciri liarnya lebih memikat selain rupa yang lebih eksotik.

"Penjagaan spesies liar yang lebih remeh dilihat sebagai 'medan ujian' peminat ikan. Begitu juga dengan saya, apabila berjaya biak spesies Wild betta tempatan, itu satu pencapaian yang membuatkan saya teruja dan puas.

"Kemudian saya cabar diri lagi dengan menyertai pertandingan pula. Di sini kredibiliti saya sebagai pemilik dan pembiak baka Betta liar dinilai," katanya.

MOHD Khamisan (tengah), Zulkifli (kiri) dan Zarick berusaha meningkatkan koleksi ikan laga liar.
MOHD Khamisan (tengah), Zulkifli (kiri) dan Zarick berusaha meningkatkan koleksi ikan laga liar.

Mohd Khamisan berkata, penyertaannya dalam pertandingan bukan untuk mengejar hadiah. Ini kerana dia lebih tertarik menaikkan reputasi terutama namanya dikenali dalam kalangan pemain ikan Betta liar tempatan.

Ketika ini Mohd Khamisan atau lebih mesra disapa Misai, berhasil memiliki atau membiak kira-kira 12 spesies meliputi spesies dari air jeram, paya atau air hitam (air tanah gambut).

"Sebelum ini, koleksi ikan Betta liar dalam simpanan lebih banyak sehingga banjir besar pada penghujung 2021, ikan peliharaan habis dihanyutkan.

"Sejak itu saya terpaksa mengumpul semula spesies ikan Betta liar tempatan. Sehingga kini saya menyimpan 12 spesies sahaja iaitu Betta persephone, Betta livida, Betta uberis, Betta enisae, Betta pugnax, Betta imbellis, Betta brownorum, Betta rutilans, Betta coccina, Betta hendra, Betta smaragdina dan Betta mahachainesis," katanya di rumah yang turut menjadi tempat pembiakan ikan berkenaan.

BAKA betta brownorum unik.
BAKA betta brownorum unik.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Ikan Laga Liar Malaysia (WBLM) Ir Zulkifli Mohd Salleh berkata, ikan laga liar bukan sahaja penting sebagai hobi.

Ia juga 'penanda aras' penting dalam ekosistem air yang mana beberapa spesies liar tempatan yang dilabelkan sebagai spesies terancam oleh IUCN (The International Union for Conservation of Nature). Ini juga menunjukkan alam semula jadi terutama kawasan habitat spesies ikan laga liar di negara ini terjejas.

"Seramai 19,000 peminat ikan yang berdaftar di FB (Facebook) persatuan tidak hanya pemilik ikan laga liar, sebaliknya ia juga disertai aktivis, pengusaha makanan ikan dan penyelidik yang bersama-sama dengan persatuan.

BAKA Betta persephone.
BAKA Betta persephone.

"Misi persatuan yang begitu terinspirasi dengan kecantikan dan keunikan spesies ikan laga liar ini juga mengambil langkah setapak dengan pembabitan usaha memulihara spesies ikan laga liar tempatan yang terancam.

"Ikan laga liar adalah sebanyak 29 spesies di Malaysia dan 13 daripada itu adalah endemik (hanya ada di Malaysia).

"Contohnya Betta persephone adalah spesies endemik yang hanya ada di Johor dilihat perlu ada usaha untuk membiaknya bagi kelangsungan spesies.

"Begitu juga spesies Betta livida Sepang ditemui di Selangor dan Betta livida Tanjung Malim yang juga semakin berkurangan kerana habitat ikan ini terancam," katanya.

BETTA persephone hampir pupus hanya ada di Johor.
BETTA persephone hampir pupus hanya ada di Johor.

Justeru, pihaknya komited melaksanakan pelbagai aktiviti baik di peringkat mendidik masyarakat umum sehingga terbabit dengan usaha agensi dan penyelidik tempatan.

"Kami Persatuan Pencinta Ikan Laga Liar Malaysia (WBLM) adalah persatuan pertama yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang mengambil langkah serius terhadap usaha mengembangkan industri ikan laga liar.

"Bukan hanya biak ikan supaya populasi berkembang, kami juga mengambil inisiatif lebih ekstrem apabila menganjurkan pertandingan dan menerbitkan buku, Malaysia Wild betta standards dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ini bertujuan menyeragamkan penilaian ikan Betta liar.

"Kami menetapkan aras tinggi dalam penganjuran pertandingan yang mana standard diguna pakai juga tertinggi, sekali gus mengangkat ikan tempatan menjadi antara ikan hiasan berkelas dunia," katanya.

BAKA betta brownorum unik.
BAKA betta brownorum unik.

Buktinya dalam pertandingan baru-baru ini WBLM International Wild Betta Championship 2023 dalam Aqua Fair 2023 di Kuala Lumpur menarik 269 penyertaan dengan 75 peratus adalah peserta dari luar negara.

"Saya bersama jawatankuasa memandang lebih jauh, baka ikan laga liar yang dulunya permainan anak kampung boleh menjadi ikan hiasan bernilai premium untuk dieksport.

"Ini bukan sahaja dapat membantu pembiak baka tempatan untuk menjana pendapatan, malah kelangsungan spesies dapat terus dipelihara," katanya yang turut hadir bersama ahli jawatankuasa WBLM, Zarick Zainon di pusat ternakan ikan Betta milik Mohd Khamisan.

SUASANA pertandingan ikan Betta liar.
SUASANA pertandingan ikan Betta liar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 6:20 AM