SAIZ kandang burung merak yang tinggi . FOTO Aswadi Alias
SAIZ kandang burung merak yang tinggi . FOTO Aswadi Alias
Nurul Husna Mahmud


Pelambangan burung paling cantik di dunia selalu dikaitkan dengan pesona burung merak tatkala haiwan mengembangkan ekornya.

Tidak hairanlah dalam senarai koleksi burung eksotik yang dipelihara peminat unggas serata dunia, burung ini antara yang mendapat perhatian.

Bagi peminat unggas dari Janda Baik, Pahang, Muzaffar Kaisar Mohamad Ishak, 49, tertarik dengan kecantikan merak menyebabkan beliau memelihara spesies unggas itu sejak 20 tahun yang lalu.

Sebenarnya minat beliau terhadap burung sudah bermula seawal usia tujuh tahun. Selain merak beliau turut aktif menjalankan usaha pembiakan burung spesies eksotik dengan kerjasama

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Menjelaskan mengenai koleksi meraknya kata Muzaffar, spesies merak biru atau nama saintifiknya Pavo Cristatus yang turut digelar merak India antara spesies yang sering dipelihara peminat burung.

ANTARA spesies pied  harliquin betina( merak india) dipelihara Muzaffar. FOTO Aswadi Alias
ANTARA spesies pied harliquin betina( merak india) dipelihara Muzaffar. FOTO Aswadi Alias

"Merak biasanya dipelihara kerana memiliki warna yang cantik terutama corak pada ekornya menjadi penarik utama peminat burung eksotik.

"Burung merak ada beberapa spesies dan ketika ini yang dipelihara kebanyakan orang ialah merak biru yang tidak memerlukan sebarang lesen.

"Selain itu ada juga merak hijau (pavo muticus) yang mana spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah akta 176 pemuliharaan hidupan liar yang memerlukan permit khas dari Jabatan Perhilitan," katanya.

MERAK hijau perlukan permit khas dari PERHILITAN. FOTO Aswadi Alias
MERAK hijau perlukan permit khas dari PERHILITAN. FOTO Aswadi Alias

Kata Muzaffar lagi, spesies merak hijau sebenarnya pernah wujud di Semenanjung Malaysia tetapi pupus pada awal tahun 1960.

Kepuasan pemilik merak sepertinya apabila dapat mengamati kecantikan burung itu pada pandangan mata.

"Tidak seperti kucing, pemelihara dan menjaga haiwan itu kerana mahu menikmati kecantikannya yang tumbuh sihat dan membesar dengan baik.

"Burung merak tidak seperti kucing yang mana perlu dibelai dan dimandi. Perumpamaan paling dekat bagi kami yang menjaga burung merak ialah aura kecantikan burung itu seperti 'api' yang mana tidak boleh disentuh tetapi kehangatan boleh dirasai dan dinikmati," katanya.

ANTARA kaedah dalam merawat merak yang mengalami penyakit atau jangkitan parasit.
ANTARA kaedah dalam merawat merak yang mengalami penyakit atau jangkitan parasit.

Jelasnya lagi, kecantikan juga dilihat kepada spesies merak India jantan berbanding betina kerana perbezaan tona warna.

"Spesies merak yang ada di tempat saya ini adalah yang diimport dari Eropah dan kemudian dibiak untuk pastikan kelangsungan generasi yang ada sehingga hari ini.

"Satu lagi fakta perlu diketahui umum ialah kecantikan burung merak biru jantan lebih ketara menonjol berbanding warna burung merak betina yang lebih pudar,"katanya.

Menjelaskan keperluan burung itu, kata Muzaffar, perkara paling remeh ialah penyediaan kandang tempat tinggal.

"Faktor paling utama dalam memelihara merak ialah kandang yang besar diperlukan iaitu berukuran paling minimum 3.7 meter x 3.7 meter bagi menempatkan sepasang merak.

TELUR merak diletakkan dalam inkubator bagi membantu ia menetas.
TELUR merak diletakkan dalam inkubator bagi membantu ia menetas.

"Bayangkan ekor merak jantan sahaja boleh mencecah 2 meter apatah lagi ketika musim mengawan, ia akan mengembangkan ekor dan menari. Jika sangkar kecil, bulu dan ekornya boleh rosak.

"Penjagaan diet pula, saya memberi merak peliharaan makan dedak ayam premium, campuran gandum dan jagung, betik, ulat roti serta kangkung,"katanya.

Tambah Muzaffar lagi, selain makanan tinggi kalsium kerana keperluan burung untuk menghasilkan telur sihat, pemilik juga perlu peka masalah lain seperti ancaman kutu dan cacing.

"Burung merak terdedah kepada ancaman parasit seperti kutu dan cacing. Jika tampak burung lemah, tiada selera makan dan pucat perlu jalani rawatan segera.

MERAK jantan boleh kembangkan ekor mencecah 2 meter.
MERAK jantan boleh kembangkan ekor mencecah 2 meter.

"Biasanya penternak beri suntikan ivermectin untuk atasi masalah kutu dan cacing pada merak," katanya.

Selain burung merak biru, Muzaffar turut memiliki burung merak putih iaitu baka mutasi dari merak India.

Pengalaman tidak boleh dilupa Muzaffar sepanjang memelihara unggas itu ialah pernah kehilangan empat ekor merak putih sekali gus dalam satu malam disebabkan ular sawa.

"Pemilik merak juga perlu faham karakter atau sifat agresif dan kewilayahan ada pada sesetengah burung merak jantan, di mana pemilik kena berhati-hati ketika musim mengawan. Burung merak jantan boleh mencederakan pemiliknya dengan taji di kaki.

"Jadi, pemilik yang baru berjinak memelihara merak perlu dapatkan tip daripada penternak berpengalaman mengenai penjagaan bagi memastikan burung berkenaan dapat dipelihara dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:40 AM