Muhammad Saufi Hassan

Gedung aplikasi Apple, App Store menghentikan lebih daripada RM8 bilion dalam transaksi penipuan pada tahun 2022.

Sesuai dengan objektifnya iaitu mewujudkan platform yang boleh dipercayai dan selamat untuk pengguna dan memuat turun aplikasi dengan selamat dan menyediakan peluang menarik untuk mempamerkan idea.

Selama bertahun-tahun, Apple memperkenalkan pelbagai langkah untuk menyokong ekosistem yang memberi manfaat kepada pengguna dan pembangun.

Hasilnya, App Store menjadi platform yang bertenaga dan inovatif dengan menarik lebih 650 juta purata pelawat mingguan di seluruh dunia, serta menyediakan lebih daripada 36 juta pembangun Apple berdaftar dengan platform

pengedaran global yang menyokong lebih daripada 195 kaedah pembayaran tempatan dan 44 mata wang.

Hari ini, Apple mengumumkan bahawa pada 2022, App Store menghalang lebih RM8 bilion dalam urus niaga yang berpotensi penipuan dan menolak hampir 1.7 juta penyerahan aplikasi kerana gagal memenuhi piawaian tinggi App Store untuk privasi, keselamatan dan kandungan.

Pada tahun lalu juga, Apple menghapuskan 428,000 akaun pembangun dan 282 juta akaun pelanggan kerana penipuan dan penyalahgunaan.

Selama bertahun-tahun, Apple menambah baik sistemnya untuk terus memantau dan mengesan penipuan akaun dengan cepat.

Pada tahun 2021, Apple menamatkan lebih 802,000 akaun pembangun kerana aktiviti yang berpotensi penipuan.

Tahun lalu, jumlah itu merosot kepada 428,000 dan ia membuktikan tahap komitmen syarikat berkenaan dalam menawarkan gedung aplikasi yang boleh dipercayai serta selamat untuk pengguna.

Selain itu, hampir 105 juta pendaftaran Program Pembangun Apple ditolak kerana disyaki aktiviti penipuan.

Apple melindungi pengguna daripada hampir 57,000 aplikasi yang tidak boleh dipercayai daripada entiti yang tidak sah, serta tidak menepati aspek perlindungan privasi dan keselamatan terbina yang sama seperti App Store.

Dalam tempoh sebulan lalu, Apple menyekat hampir 3.9 juta percubaan untuk memasang atau melancarkan aplikasi yang diedarkan secara haram melalui 'Developer Enterprise Programme' yang membolehkan organisasi besar menggunakan aplikasi dalaman untuk digunakan oleh pekerja.

Langkah proaktif daripada Apple berkenaan menjadikan platform gedung aplikasi miliknya lebih selamat dan dipercayai dalam kalangan pengguna berbanding gedung aplikasi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 4:16 PM