GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Fenomena El Nino atau cuaca panas kemarau yang melanda negara ketika ini dijangka akan berterusan sehingga Julai.

Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata terdapat juga ramalan mengatakan tahun ini adalah tahun paling panas selepas fenomena sama pernah berlaku pada 1998.

Katanya, beberapa negeri iaitu Kelantan, Perlis dan Kedah mengalami cuaca yang lebih panas berbanding Kuala Lumpur dan negeri lain.

"Kalau ikut trend biasa berdasarkan laporan diterima, sepatutnya (cuaca) sudah mula beralih dan hujan akan berlaku, namun keadaan ini mungkin sebulan atau dua bulan lagi. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan memantau perkara ini.

"Justeru, kita juga akan memantau kejadian jerebu dalam negara dan rentas sempadan. Kita juga melihat beberapa kesan kebakaran membabitkan tanah gambut.

"Pada masa sama, pihak kemeneterian akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memantau paras air dan mungkin terpaksa membuat pembenihan awan sekiranya perlu," katanya selepas merasmikan Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Pauh Lima, di sini, tadi.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya ada menerima permintaan daripada Kelantan dan syarikat air untuk melakukan pembenihan awan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan diputuskan oleh MetMalaysiadan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Pembenihan awan tidak boleh dibuat sesuka hati sebaliknya perlu memenuhi syarat tertentu. Malah kosnya juga adalah tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 12:42 PM