Muhammad Saufi Hassan

Syarikat teknologi terkemuka, Google mendakwa menyekat lebih 173,000 akaun pembangun dan 1.43 juta aplikasi di platform Play Store pada tahun lalu.

  Ia adalah salah satu usaha Google dalam usaha untuk membanteras penipuan atas talian sekali gus memelihara platform berkenaan daripada menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

  Syarikat gergasi teknologi itu juga mengatakan bahawa usaha untuk menyekat perisian adalah menggunakan bantuan daripada pembelajaran mesin (learning machine) berdasarkan kepada maklum balas pengguna.

  Memetik satu kiriman daripada blog milik Google menyatakan bahawa syarikat itu akan meneruskan usaha untuk memerangi pelbagai aplikasi mencurigakan serta menyekat mana-mana akaun pembangun yang menyediakan aplikasi berkenaan.

  Pada masa sama, Google juga sudah mengubah keperluan pembangun aplikasi apabila kini, mereka perlu menghantar alamat emel serta nombor telefon untuk tujuan pengesahan.

  Syarikat itu percaya bahawa kaedah berkenaan akan mengurangkan jumlah aplikasi mencurigakan di Play Store secara keseluruhan. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 4:02 PM