MAG Shield 110R
MAG Shield 110R
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


Rekaan kerangka sememangnya penting untuk memastikan suhu pada tahap paling minimum termasuk padanan saiz penyejuk.

Terdapat juga segelintir pengguna pada hari ini yang lebih gemar memilih rekaan kerangka sederhana berbanding 'full tower' bersaiz lebih besar dan 'memakan' ruang set desktop mereka.

MSI menerusi produk kerangka mereka iaitu MAG Shield 110R menjanjikan rekaan kerangka lebih dinamik dan penjimatan ruang untuk kelas kerangka pertengahan atau 'mid tower'.

Menyentuh aspek spesifikasinya, kerangka MAG Shield 110R ini boleh memadankan bekalan kuasa (PSU) untuk saiz standard ATX sehingga kepada 270 milimeter (mm) tanpa ruang penyimpanan cakera keras.

Sokongan kipas pula menyokong 120 mm atau 140 mm untuk bahagian depan manakala saiz 120 mm turut boleh digunakan bagi ruang atas, bawah dan bahagian belakang.

Sesuai dengan trend pada masa kini, untuk pemasangan sistem penyejuk semua dalam satu (AIO) boleh memuatkan saiz radiator 120mm atau 240mm manakala bahagian belakang hanya mampu untuk memuatkan 120 mm radiator saja.

Kerangka papan induk juga boleh memuatkan saiz ATX, M-ATX dan Mini ITX tanpa sebarang masalah.

Pengguna boleh melakukan penetapan kefungsian penyeragaman lampu boleh laras (ARGB) menerusi perisian rasmi MSI iaitu Mystic Light bagi kipas yang didatangkan bersama kerangka berkenaan.

Bahagian tepi didatangkan dengan cermin diperkukuhkan untuk memperlihatkan semua perkakas set desktop pengguna dan ia boleh dibuka dengan mudah.

 

 

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 12:02 PM