Muhammad Saufi Hassan

Pengguna kerangka desktop yang baik bukan saja untuk ciri kosmetik, penyeragaman lampu RGB sebaliknya lebih penting adalah pengudaraan di dalam desktop.

  Memang diakui bahawa wujud pelbagai jenis kerangka di pasaran yang pastinya ditawarkan dengan harga lebih murah namun memiliki masalah apabila pengudaraan terperangkap di bahagian tengah kerangka.

  MSI memperkenalkan kerangka baharu mereka menerusi siri MPG GUNGNIR 110R daripada kelas kerangka pertengahan (Mid Tower Case).

  Untuk kerangka ini, sambungan sokongan depan menawarkan dua port USB termasuk satu port USB jenis C bersama-sama dengan butang kawalan lampu LED yang memudahkan pengguna menukar tetapan penyeragaman lampu.

  Panel bahagian depan dibina menerusi 'Anterior Kaca' bersama-sama dengan penapis habuk serta kerangka ini memuatkan saiz radiator penyejuk 360mm tanpa sebarang masalah.

  Sesuai dengan trend semasa iaitu pemilik desktop kelas permainan pastinya mahu mempamerkan set mereka, panel tepi dilengkapi dengan kace diperkukuh serta boleh dibuka dan tutup dengan mudah.

  Bahagian atas pula dilengkapi dengan penapis habuk bermagnetik sekali gus mengurangkan habuk untuk masuk ke dalam desktop.

  Untuk aliran udara, panel depan digunakan untuk menyedut udara masuk manakala panel atas dan belakang bertujuan sebagai 'eksos' iaitu pengeluaran haba panas di dalam desktop.

  Kerangka ini menyokong tiga saiz papan induk bermula daripada Mini ITX, Micro ATX dan ATX tanpa masalah mengikut keselesaan pengguna.

  Menyentuh tentang sokongan kipas, panel depan boleh dimuatkan dengan tiga kipas bersaiz 120mm atau dua kipas bersaiz 140mm.

  Untuk panel atas, dilengkapi dengan dua kipas 120mm dan satu unit kipas belakang  bersaiz sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 11:56 PM