MAG Forge 100R.
MAG Forge 100R.
Muhammad Saufi Hassan


JENAMA kelas permainan terkemuka, MSI memperkenalkan kerangka desktop mereka yang yang baharu iaitu MAG Forge 100R yang menjamin kualiti pengudaraan terbaik.

Secara fizikalnya, kerangka desktop berkenaan didatangkan dengan dua kipas bersaiz 120 milimeter (mm) yang diletakkan secara menegak di bahagian depan kerangka berkenaan.

Rekaan itu bertujuan untuk pengudaraan terbaik sekali gus mewujudkan tekanan udara positif di dalam kerangka sekali gus mengoptimumkan kuasa penyejukan untuk semua komponen.

MAG Forge 100R juga dilengkapi dengan dua eksos udara iaitu dibahagian belakang dan atas supaya tiada haba terperangkap di tengah-tengah kerangka berkenaan.

Untuk kerangka ini, ia menyokong tiga jenis papan induk iaitu ATX, Micro ATX atau M-ATX dan Mini ATX tanpa sebarang masalah.

Ia didatangkan dengan dua kipas pra pemasangan di bahagian depan dengan keupayaan penyeragaman lampu RGB dan pengguna boleh melakukan tambahan kipas untuk penyejukan lebih baik.

Untuk sokongan radiator penyejuk semua dalam satu (AIO) pula, pengguna boleh memilih untuk meletakkan radiator di bahagian atas serta depan dengan sokongan sehingga 240mm manakala bahagian belakang kerangka menyokong 120mm.

Bahagian atas pula dilengkapi dengan penapis magnetik untuk menapis habuk selain pemacu kawalan LED di bahagian depan.

MSI bijak melakukan rekaan kerangka ini apabila bentuk fizikalnya lebih cenderung kepada aspek ergonomik manakala sisi kerangka itu dilengkapi dengan penutup kaca diperkukuh untuk memperlihat perkakas di bahagian dalam.

Kerangka ini adalah daripada saiz 'Mid-Tower' dan mampu untuk menyokong penyejuk bersaiz 160mm CPU.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 11:02 PM