Dr Kamal (kanan) dan Dr Harlina ketika melancarkan Kajian Generasi Alaf Baru yang Sudah Berumah Tangga, baru-baru ini.
Dr Kamal (kanan) dan Dr Harlina ketika melancarkan Kajian Generasi Alaf Baru yang Sudah Berumah Tangga, baru-baru ini.
Intan Mas Ayu Shahimi


Berapa ramai wanita hari ini sedar mengenai pentingnya merancang kehamilan? Adakah mereka berani menyuarakan pendapat mengenai perancang kehamilan di depan suami? Agak mengecewakan apabila isu kehamilan hanya dilihat dari sudut pandangan yang sempit saja.

Segelintir pasangan kini beranggapan jumlah anak yang ramai bukan masalah. Namun, dengan peningkatan kos sara hidup sekarang, memiliki ramai anak mungkin bukan keputusan yang bijak.

Kebajikan anak mungkin terabai. Paling kerap dilupakan adalah keadaan fizikal dan mental ibu yang mengandung dan melahirkan. Adakah dia diberi ruang untuk disayangi dan menyayangi diri, menikmati hidangan sihat, bebas daripada tekanan dan berada dalam keadaan sihat?

Ada banyak keluhan yang didengar dalam kalangan ibu muda dan sudah berpengalaman. Keluhan lazim adalah mengenai kesediaan mereka menimang cahaya mata baru selepas melahirkan anak.

Sama ada suami sedar atau tidak, ramai isteri bimbang menyuarakan keinginan untuk merancang kehamilan. Jika menurut pandangan pakar, kondom antara alat pencegah hamil paling mudah berbanding pengambilan pil, implan, alat pencegahan dalam rahim (IUD) mahupun suntikan.

Bagamanapun, tidak ramai suami yang sedia menggunakan kondom ketika mengadakan hubungan dengan isteri atas faktor kepuasan diri. Sedangkan alat merancang kehamilan lain pula menuntut komitmen dan pengorbanan isteri.

Pakar Sakit Puan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Harlina Halizah Siraj berkata, wanita yang berkeinginan untuk merancang kehamilan sepatutnya tampil menyuarakan pendapat secara baik untuk kebaikan jangka panjang.

“Wanita kena tahu, jika mereka tidak maklumkan terus kepada suami, ada kemungkinan pasangan mereka tidak akan tahu apa yang bermain di fikiran isteri. Untuk memulakan bicara dalam topik ini, wanita perlu ada kemahiran supaya dapat berkomunikasi secara asertif.

“Maksudnya, wanita ini perlu sentiasa hormat kepada suami dan pada masa sama, dia juga bijak mempertahankan haknya sebagai isteri. Janganlah mengalah saja setiap kali suami mengajak mengadakan hubungan. Jika tidak, ia akan menjadi komunikasi pasif.

“Apabila ini berlaku, tidak mustahil wanita yang perlu menanggung beban kehamilan luar jangka setiap tahun. Bayangkan jika keadaan berterusan, isteri tidak berkesempatan mengurus diri dan anak terbiar, suami mungkin cari (wanita) lain,” katanya selepas tampil sebagai panel forum pakar bertajuk Amalan Seks yang Bijak untuk Generasi Alaf Baru yang Sudah Berumah Tangga - Kemesraan, Keluarga dan Kesihatan. Forum itu dianjurkan Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan Durex Malaysia.

Hadir sama, Presiden FRHAM, Datuk Dr Kamaruzaman Ali; Naib Pengerusi FRHAM, Dr Kamal Kenny dan Pengurus Pemasaran OTC Reckitt Benckiser Health Malaysia, Lionel Lim.

Jelas Dr Harlina, komunikasi baik antara suami dan isteri dalam segenap hal termasuk perkara yang difikirkan sensitif memainkan peranan cukup penting. Ia bagaikan penentu kebahagiaan keluarga, bilangan anak, jarak kehamilan dan banyak perkara lain.

“Wanita perlu memperkasakan diri, bukan mengawal suami mereka. Kita perlu dengar pandangan mereka dan berbincang mengenai masa, komitmen, kewangan dan pelbagai perkara berkaitan yang mungkin terjejas berikutan kehamilan yang tidak dirancang dengan baik.

“Untuk ini, wanita perlu ada kemahiran berunding yang bagus. Mereka perlu sentiasa berlatih untuk berkomunikasi bijak dengan pasangan. Usah terlalu mendesak, menghukum dan berkeras. Kita tidak mahu suami berpaling terus daripada sebarang perbincangan,” katanya.

CARI ILMU

Menurut Dr Harlina, sebagai persediaan awal untuk berdepan suami, wanita perlu jelas dengan apa yang hendak disampaikan. Melalui cara itu, suami mudah diyakinkan dan rundingan boleh berlangsung dengan baik.

Perkara pertama yang perlu diketahui wanita katanya, adalah bagaimana memilih kaedah pencegahan terbaik. Sedikit sebanyak, ia bergantung kepada sikap terbuka pasangan dan keselesaan ketika berhubungan.

AHLI panel berkongsi pandangan.
AHLI panel berkongsi pandangan.

“Pada hemat saya, pasangan yang hendak berkahwin perlu berbincang mengenai aspek ini secara terbuka. Tanyakan kepada pasangan, bila waktunya selepas berkahwin, dia mahukan anak.

“Mungkin sesetengahnya akan kata, tak apa jika bunting pelamin tapi, kedua-duanya mestilah bersetuju. Jangan kerana teruja untuk mempunyai anak seperti orang lain, salah seorang bersikap penting diri.

“Cuma bagi saya, kalau boleh jangan hamil dulu (bunting pelamin). Mungkin elok jika kita beri masa antara tiga ke enam bulan untuk pasangan saling mengenali hati budi. Walaupun mereka ini sudah lama kenal, bertunang lima ke 10 tahun sekali pun, perlu diingat kehidupan selepas berkahwin adalah berlainan sama sekali. Selepas enam bulan, barulah merancang untuk hamil,” katanya.

Kata Dr Harlina, ada banyak kaedahnya yang boleh digunakan untuk merancang kehamilan. Cara paling mudah dan tidak perlu berjumpa doktor adalah dengan menggunakan kondom.

“Kalau suami itu sanggup menggunakan kondom pada peringkat awal perkahwinan, selalunya itulah yang memudahkan lagi mereka berbicara, berbincang mengenai bilangan anak dan hal lain di masa depan.

“Dalam penggunaan kondom, mereka boleh berhenti pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Namun, kalau suami enggan menggunakan kondom tidak mengapa. Isteri boleh mengambil pil perancang kehamilan. Bezanya, dia perlu akur dengan rutin pengambilan secara bulanan.

“Setidak-tidaknya, ia membantu pasangan membina keluarga berkualiti. Kalau ada pihak yang mengatakan makan pil di peringkat awal perkahwinan boleh menyebabkan kesukaran mengandung, itu semua mitos. Pil ini selamat. Mereka boleh berhenti dan mula bersedia untuk hamil.

“Katakan selepas tempoh tiga ke empat bulan masing-masing sudah berhenti merancang dan hamil, mereka haruslah merujuk kepada doktor. Tetapi, sebelum pulang ke rumah selepas berjumpa doktor untuk kali pertama, mereka sepatutnya sudah mula merancang, seberapa besar saiz keluarga yang dimahukan,” katanya.

Dr Harlina berkata, penting untuk pasangan memutuskan saiz keluarga pada awal perkahwinan kerana ada banyak perkara yang akan menyusul dan perlu dipertimbangkan secara serius di masa depan.

“Kadang-kadang, ada pasangan yang mungkin terikat dengan perhubungan jarak jauh. Pada saya, kurang sesuai untuk isteri ini hamil. Ketika dalam fasa kehamilan, wanita memerlukan sokongan pasangan, kewangan yang kukuh dan masa bersama. Jika semua ini tidak dapat diadakan, tidak mustahil wujud ketegangan dalam hubungan, isteri tertekan dan sebagainya.

“Ada sesetengah wanita beranggapan perkahwinan jarak jauh tak memerlukan dirinya mengamalkan sebarang bentuk perancang keluarga. Tapi itu sebenarnya lebih bahaya kerana dia tidak tahu bila sebenarnya waktu subur mereka,” katanya.

IBU MENYUSU EKSKLUSIF

Satu lagi masalah yang kerap dipandang remeh oleh wanita adalah risiko kehamilan ketika masih menyusukan anak. Menurut kajian yang dilakukan terhadap ibu yang menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu, masa ovulasinya akan menjadi jauh lebih lambat berbanding ibu tidak menyusukan bayi secara eksklusif.

“Kaedah ini disebut LAM atau Lactational Amenorrhea Method. Ia menuntut penyusuan susu ibu sepenuhnya untuk melambatkan ovulasi secara semula jadi. Sekiranya wanita hamil, melahirkan anak, menyusukan dan kemudian datang haid, kaedah ini sudah tidak boleh diguna pakai untuk merancang keluarga.

“Apabila haid datang, itu bermaksud badan kita sudah kembali normal dan boleh hamil pada bila-bila masa,” katanya.

LAM EFEKTIF DENGAN SYARAT BERIKUT:

1. Haid belum kembali

Selepas wanita melahirkan, dia masih belum didatangi haid.

2. Bayi berumur kurang enam bulan

Kaedah ini tidak boleh diguna pakai untuk bayi selepas mereka mencecah usia enam bulan, walaupun disusukan secara eksklusif.

3. Bayi disusukan secara eksklusif siang dan malam

Ramai ibu tersilap dalam mentafsir hal ini. Perlu diketahui penyusuan eksklusif berlaku apabila ibu menyusukan anaknya sepenuhnya secara terus. Ini bermaksud, apabila bayi merengek, ibu akan terus memberi susu dari payudara, bukan susu perahan (EBM).

Menyusukan anak secara eksklusif, bermaksud ibu yang memberi kepada anak menerusi kaedah penyusuan eksklusif. Jika ada ibu yang mengatakan mereka menyusukan bayi secara eksklusif, 100 peratus susu ibu termasuk secara botol (EBM), itu adalah eksklusif untuk anak, bukan untuk ibu.

Jika ibu yang menyusukan secara eksklusif, bermaksud dia sentiasa memberi secara terus dari dadanya. Hisapan hisapan anak itulah yang sebenarnya mengawal otak supaya melambatkan pengeluaran hormon subur. Apabila anak mula minum dari botol, rima hisapan sudah tidak sama dengan yang pertama (menerusi payudara ibu).

4. Bayi tidak mengambil sebarang makanan lain selain daripada susu ibunya selama enam bulan pertama.

Penting diingatkan bayi itu perlu minum susu ibu saja. Tidak mengambil makanan tambahan atau susu lain. Apabila bayi mula menerima nutrien dari sumber lain, kadar hisapan mereka akan menurun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 8:45 AM