WANITA perlu amalkan 4 kriteria penting LAM untuk lambatkan ovulasi secara semula jadi.
WANITA perlu amalkan 4 kriteria penting LAM untuk lambatkan ovulasi secara semula jadi.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


RAMAI wanita memandang remeh risiko kehamilan ketika masih menyusukan anak. Menurut kajian yang dilakukan terhadap ibu yang menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu badan, masa ovulasinya menjadi jauh lebih lambat berbanding mereka yang tidak menyusukan bayi secara eksklusif.

Kaedah itu disebut LAM atau Lactational Amenorrhea Method. Ia menuntut penyusuan susu ibu sepenuhnya untuk melambatkan ovulasi secara semula jadi.

Namun, sekiranya wanita hamil, melahirkan anak, menyusukan dan kemudian datang haid, kaedah ini sudah tidak boleh diguna pakai untuk merancang keluarga.

Menurut pakar penjagaan kesihatan reproduktif, Dr John Teo Beng Ho, apabila wanita datang haid pertama selepas melahirkan anak, tubuhnya kembali normal dan boleh hamil pada bila-bila masa.

“Ini kesilapan lazim yang dilakukan ramai wanita. Mereka mengamalkan LAM, tetapi mengabaikan beberapa kriteria penting yang menentukan keberkesanan kaedah ini,” katanya.

Perlu diketahui LAM efektif dengan empat syarat berikut:

1. Haid belum kembali

Selepas wanita melahirkan, dia masih belum didatangi haid.

2. Bayi berumur kurang enam bulan

Kaedah ini tidak boleh diguna pakai untuk bayi selepas mereka mencecah usia enam bulan, walaupun disusukan secara eksklusif.

3. Bayi disusukan secara eksklusif siang dan malam

Penyusuan eksklusif berlaku apabila ibu menyusukan anaknya sepenuhnya secara terus. Ini bermaksud, apabila bayi merengek, ibu akan terus memberi susu dari payudara, bukan susu perahan (EBM).

Hisapan-hisapan anak itulah yang sebenarnya mengawal otak supaya melambatkan pengeluaran hormon subur. Apabila anak mula minum dari botol, rima hisapan sudah tidak sama dengan yang pertama (menerusi payudara ibu).

4. Bayi tidak mengambil sebarang makanan lain selain daripada susu ibunya selama enam bulan pertama.

“Sebab itulah pentingnya buku panduan Take Control. Ia untuk menyeragamkan dan memberi maklumat sahih kepada wanita mengenai perancangan keluarga, kawalan kitaran dan pengurusan hormon,” katanya.

Jelas Dr Teo buku kontraseptif oral itu dihasilkan Eurodrug Laboratories (M) Sdn Bhd dan disemak oleh pakar pendidik kontraseptif serta Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM). Ia diperkenalkan dalam kempen Take Control bersama CARiNG Pharmacy Group Bhd.

Buku itu juga memaparkan kepercayaan budaya dan masyarakat mengenai topik kawalan kelahiran selain membantu ahli farmasi untuk memberi rundingan yang lebih baik kepada wanita.

“Kita boleh lihat statistik tidak menggalakkan mengenai kehamilan yang tidak dirancang. Ia memerlukan pemerkasaan lebih kuat kepada wanita dalam bentuk kaunseling, penyediaan maklumat dan akses terhadap kaedah kontraseptif moden,”

katanya.

BERI KHIDMAT NASIHAT

Masyarakat kita belum memanfaatkan sebaiknya pengetahuan ahli farmasi yang boleh memberi khidmat nasihat mengenai pengambilan ubat. Malah, mereka juga boleh memberi penerangan mengenai kaedah pencegahan kehamilan yang tersedia di negara kita.

“Ahli farmasi adalah titik pertemuan pertama bagi mereka yang berminat dalam isu perancangan keluarga atau kontrasepsi. Banyak farmasi ditempatkan di kawasan trafik tinggi seperti pusat beli-belah dan ia beroperasi 12 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk kemudahan pelanggan.

“Kami berbangga untuk mengambil bahagian dalam kempen ‘Take Control’ di mana ahli farmasi kami boleh menggunakan kepakaran mereka sepenuhnya untuk faedah komuniti dan membantu pakar perubatan melengkapkan proses penjagaan kesihatan pesakit,” kata Pengarah Urusan CARiNG Pharmacy Group Bhd, Chong Yeow Siang.

Dalam pada itu, Pengurus Negara Eurodrug Malaysia, Kelvin Tong turut memperkenalkan Dienille, sejenis kontraseptif oral yang mengandungi gabungan dua hormon, iaitu dienogest (memberi kesan seperti hormon luteal semula jadi, progesteron) dan etinilestradiol (memberi kesan seperti estrogen).

“Pengetahuan tentang kesihatan seksual dan reproduktif serta menjaga kesihatan adalah hak wanita. Ia juga membolehkan mereka mendapatkan pendidikan, kerja dan kuasa atas diri sendiri.

“Kami percaya bahawa keupayaan untuk menentukan bila dan keadaan mana kehamilan berlaku berupaya meningkatkan kualiti hidup wanita untuk jangka panjang supaya setiap kehamilan itu adalah dirancang, dikehendaki dan disayangi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:00 AM