REKAAN serlah mempelai agar kelihatan seksi, elegan.
REKAAN serlah mempelai agar kelihatan seksi, elegan.
Siti Zarinah Sahib

MENGAMBIL inspirasi daripada filem Twilight pereka ini mengetengahkan gaun perkahwinan, Bella yang digarap indah menerusi satu babak dalam filem terkenal ini.

Berlatar belakangkan hutan pokok pain, pasangan peragawati ini cukup anggun menggayakan 16 rekaan gaun disamping empat sut lelaki yang cukup kemas buatannya hasil kreativiti pereka Suffian Tugiman.

Menurut Suffian koleksi ini mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan bagi memenuhi tema moden, seksi dan ciri elegan yang ditonjolkan mempelai.

“Dalam perkahwinan mempelai menjadi tumpuan utama. Justeru adalah penting menonjolkan ciri-ciri kesempurnaan menerusi busana yang anggun dan memikat,” katanya.

Koleksi Twilight 19 mengekalkan konsep Inggeris dan gaya seksi seorang mempelai dengan memaparkan warna putih yang memberikan aura tersendiri. Tampil seksi menerusi gaun kemban jelas Suffian, ia diilhamkan untuk wanita yang ingin mengadakan majlis dalam taman. Perincian ringkas namun diserlahkan menerusi jahitan manik memberikan gaya mewah kepada si pemakai.

KOLEKSI gaun perkahwinan Suffian Tugiman dengan gaun kemban potongan kain bertingkat memberikan gaya elegan mempelai.
KOLEKSI gaun perkahwinan Suffian Tugiman dengan gaun kemban potongan kain bertingkat memberikan gaya elegan mempelai.

Layah ringkas menyerikan konsep yang ingin digayakan sesuai gelaran raja sehari manakala sut lelaki berwarna hitam bermotif flora penuh berwarna-warni mencipta kelainan tersendiri.

“Kebiasaannya sut lelaki hitam polos memberikan ketampanan buat si jejaka. Namun saya mencipta kelainan dengan rekaan sut berwarna-warni digandingkan dengan gaun polos agar kedua-duanya tampil berseri dan anggun,” katanya.

Menggunakan fabrik krep, scuba dan sutera Thai untuk gaun ketiga-tiga material ini dipilih kerana ciri kelembutan dan beralun yang terdapat padanya. Malah sesuai wanita langsing ia terletak cantik pada badan mempelai saat bergandingan menuju singgahsana.

Untuk sut lelaki pula ia menggunakan fabrik jaquard bersulam emas serta bermotif flora bagi memberi kesan sekali gus menaikkan seri pengantin lelaki.

“Daripada segi potongan, saya ingin mengekalkan gaya ringkas. Tetapi ia tidak bermakna keserian raja sehari dipinggirkan. Saya menggunakan potongan mengikut bentuk badan supaya menampakkan kelangsingan si pemakai,” jelasnya. Tidak lengkap penampilan tanpa layah, Suffian memperincikan batu permata pada bahagian tertentu bagi menampakkan kemewahannya.

BAJU Capelectic direka menutupi bahagian dada.
BAJU Capelectic direka menutupi bahagian dada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 7:00 AM