NUR Afifah.
NUR Afifah.
Intan Mas Ayu Shahimi

Dari jauh, wanita tinggi lampai ini nampak cukup selesa bersendirian. Sekejap dia leka membelek botol syampu yang tersusun kemas. Kemudian, anak matanya terhenti pada label, meneliti isi kandungan dan fungsi syampu mengikut jenis. Usai merakam beberapa gambar, dia menikmati hidangan disediakan penganjur majlis pada hari itu.

Mungkin ada yang sudah mengenali Nur Afifah Mohd Zubir, 25. Wanita berasal dari Kuala Lumpur ini mempunyai lebih 10,000 pengikut di laman sosial Instagram. Dia aktif berkongsi pelbagai ulasan mengenai produk, petua kecantikan dan asas solekan dengan pengikutnya.

Kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat ini, dia memang suka mencuba pelbagai produk kecantikan terbaru di pasaran dan berkongsi pendapat dengan ramai pengguna, khususnya wanita.

“Ketika ini saya bekerja sebagai pencipta kandungan media sosial dan aktif menulis ulasan mengenai produk kecantikan di situ. Saya dapati ramai yang suka dan menunjukkan minat untuk mendapatkan lebih banyak perkongsian berkaitan.

“Sedar tak sedar, pendedahan sebeginilah yang menyedarkan saya pentingnya penjagaan diri, kesihatan dan kecantikan. Saya lebih peka kepada perubahan persekitaran, komited terhadap penjagaan diri dan mula nekad menjadi wanita luar biasa dalam segenap perkara,” katanya.

Menurut Nur Afifah, dia percaya wajah bersih dan penampilan kemas sentiasa mencerminkan diri sebenar wanita. Tambahan kedua-dua aspek itu selalu diberi perhatian wanita yang mahu tampil lebih yakin dan menyerlah di khalayak.

“Saya gabungkan kaedah tradisional dan produk organik untuk kesan terbaik. Umpamanya, daun lidah buaya yang diketahui banyak khasiat untuk kulit digunakan bagi mengatasi kesan kemerahan pada kulit yang banyak terdedah kepada pancaran cahaya matahari.

“Memandangkan ia memiliki sifat antialahan dan boleh melembapkan kulit, saya selalu gunakan daun lidah buaya sebagai pupur wajah dua atau tiga kali seminggu.

“Selain itu, saya juga mengamalkan sapuan minyak kelapa untuk melebatkan bulu mata dan juga kening. Walaupun dilahirkan dengan kening yang lebat, saya masih mengamalkan rutin ini seminggu sekali kerana percaya penjagaan konsisten membuatkan kening dan bulu mata kelihatan lebih lebat serta menarik,” katanya.

Berbeza dengan pilihan produk organik, Nur Afifah mengakui dia lebih senang menggunakan jenama penjagaan kulit yang diiktiraf dari Korea Selatan.

“Saya lihat masyarakat di sana terutama wanita amat mementingkan penjagaan kulit. Kalau diteliti, kulit mereka nampak sihat, sekata dan mulus.

“Kebanyakan produk di pasaran mereka juga diilhamkan daripada kebaikan semula jadi seperti teh hijau, lidah buaya, timun, madu dan dedaun herba. Paling penting, ia sesuai dan berkesan untuk menaikkan seri serta menganjalkan kulit saya,” katanya.

DAUN lidah buaya pilihan Nur Afifah untuk kekalkan kelembapan kulit wajah.
DAUN lidah buaya pilihan Nur Afifah untuk kekalkan kelembapan kulit wajah.

Bercerita lanjut, Nur Afifah berkata, dia sebenarnya mula memberi perhatian khusus kepada penjagaan diri dan tubuh sejak berusia 15 tahun. Sama seperti kebanyakan gadis seusianya ketika itu, dia membiasakan diri menggunakan pencuci muka, penyegar dan pelembap wajah.

“Semakin dewasa, saya mula menggunakan krim pelindung matahari, serum dan gel pengelupasan kulit. Pemakaian krim pelindung matahari pula menjadi rutin harian yang wajib.

“Serum pula saya amalkan untuk merawat kulit muka, manakala gel pengelupasan kulit bertujuan membuang sel kulit mati dan merawat wajah kusam,” katanya.

Biarpun banyak pilihan produk berasaskan lidah buaya atau aloe vera di pasaran kini, Nur Afifah tetap yakin penggunaannya secara semula jadi memberi lebih banyak manfaat terutama dalam merawat kulit serta rambut rosak.

“Kulit yang cukup lembapan adalah kunci kecantikan sebenar. Jadi, sentiasa amalkan penggunaan pupur lidah buaya untuk membekalkan khasiat dan kelembapan untuk wajah. Gunakan produk yang kaya pelembap dan berupaya mengekalkan fungsinya dalam kulit.

“Selain pelembap wajah, saya juga sentiasa membawa balsam bibir di dalam beg. Cuaca panas biasanya menyebabkan bibir mudah kering. Jadi, saya selalu pastikan pelembap bibir ada untuk mengelakkan bibir merekah,” katanya.

Mengenai rutin setiap pagi, Nur Afifah mengakui tidak banyak perbezaan berbanding kebanyakan wanita yang mementingkan penjagaan wajah, kesihatan kulit dan kecergasan tubuh.

“Untuk tampil lebih bertenaga dan segar, sarapan tidak boleh ditinggalkan. Kurangkan pengambilan minuman bergula dan banyakkan minum air kosong.

“Sebagai individu yang aktif di media sosial, saya sering dijemput menghadiri pelancaran produk dan aktiviti promosi. Sesuai dengan itu, saya harus kelihatan segar dan bertenaga.

“Jadi, setiap kali sebelum mengenakan solekan, saya akan menggunakan timun sejuk untuk mengurangkan kesan letih di bahagian mata sekali gus menyegarkan kembali penglihatan.

“Selebihnya, saya akan pastikan diri cukup tidur, menikmati diet seimbang dan melakukan senaman secara berkala,” katanya.

NUR Afifah selesa menggunakan bahan semula jadi seperti daun lidah buaya.
NUR Afifah selesa menggunakan bahan semula jadi seperti daun lidah buaya.

Jelas Nur Afifah, satu amalan petuanya yang mungkin diketahui ramai, namun jarang dijadikan rutin kebanyakan wanita ketika ini adalah menggunakan skrub bibir.

“Bibir kita sentiasa mempunyai sel kulit mati dan hanya skrub saja yang mampu membersihkan cela dengan baik. Tidak cukup dengan itu, skrub ini juga menjadikan bibir lebih licin, lembap, menawan dan mudah disapu gincu.

“Hanya campurkan sedikit minyak kelapa, gula perang bersama sedikit madu. Skrub ini boleh diamalkan dua kali seminggu,” katanya.

Tip kecantikan

1. Sentiasa amalkan penggunaan krim pelindung matahari.

2. Gunakan tuala khas (lembut) untuk wajah.

3. Pastikan semua barang yang menyentuh wajah seperti telefon bimbit, cadar dan sarung bantal sentiasa dalam keadaan bersih.

4. Tanggalkan solekan dan cuci muka dengan betul sebelum tidur.

5. Dapatkan tidur mencukupi.

6. Pilih produk bersesuaian jenis kulit muka.

7. Selidik dulu bahan yang digunakan dalam sesuatu produk.

8. Kurangkan makanan tidak berkhasiat dan banyakkan pengambilan sayur, buah dan air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:49 AM