DURIAN antara nikmat dan sakit.
DURIAN antara nikmat dan sakit.
Siti Zarinah Sahib

Tidak semua orang menyukai durian. Bagi penggemar fanatik, durian barangkali menjadi buah paling enak di dunia. Di Malaysia sendiri kepelbagaian jenis raja buah buah ini mencetuskan rasa berbeza-beza. Ada isi manis berlemak, sedikit pahit dan gabungan kedua-duanya.

Bagi pencinta buah berduri ini pastinya tidak melepaskan peluang merasainya setiap kali tiba musim durian. Namun begitu ada pendapat mengatakan durian memberikan kesan pada tubuh jika diambil secara berlebihan.

Benarkah ia menyebabkan pening, mual dan mabuk bagi sesetengah individu? Bagaimana pula mereka yang berpenyakit diabetes dan darah tinggi, berapakah jumlah minimum boleh diambil bagi mengelak kenaikan gula dalam darah?

Menjelaskan lebih lanjut, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Dr Zubaidi Ahmad, durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus dikategorikan sebagai buah tempatan enak dan bernutrisi. Namun ramai memakan durian kerana rasanya yang manis dan berlemak tanpa mengetahui manfaat dan keburukannya.

“Secara amnya durian mengandungi 65 peratus air, 27 peratus karbohidrat termasuk empat peratus serat, lima peratus lemak dan satu peratus protein.

Dalam satu cawan 250 gram isi durian (dua atau tiga ulas durian) mempunyai 360 kilokalori (kCal) yang kebanyakannya daripada lemak dan karbohidrat.

“Berdasarkan keperluan tenaga dewasa, pengambilan secawan isi durian hampir memenuhi jumlah kalori diperlukan seseorang untuk makan pagi, tengah hari atau makan malam,” katanya.

Di samping itu durian turut mengandungi vitamin B6 seperti thiamine (B1), riboflavin (B2), niacin (B3), asid pantotenik (B5), vitamin B6 dan folat (B9), vitamin C dan mineral manganese dan potasium.

Semua vitamin ini amat diperlukan tubuh, sebagai contoh vitamin B diperlukan sebagai sumber utama dalam pembentukan sel darah merah dan memastikan sistem saraf berfungsi dengan baik.

Manganese juga membantu fungsi saraf, pembentukan tisu penghubung dan tulang, metabolisme lemak dan karbohidrat manakala potasium untuk mengawal tekanan darah, kesihatan jantung, otot dan tulang.

Menariknya, durian turut mengandungi asid amino, triptofan yang menjadi sumber utama pembentukan hormon serotonin dan melatonin yang membantu individu berasa tenang dan mudah untuk tidur.

“Pelbagai manfaat nutrisi yang boleh didapati daripada durian, tetapi jangan ambil dalam kuantiti yang banyak kerana ia boleh memudaratkan. Ini kerana disebabkan gaya hidup masyarakat pada hari ini yang kurang bersenam, berbeza pada zaman dulu masyarakat hidup dalam perkampungan yang tidak jauh dari hutan.

“Pekerjaan mereka membersihkan hutan, menanam dan menternak. Buah-buahan yang terdapat di sekitar mereka adalah sumber utama pembekal tenaga. Jadi pengambilan durian dengan banyak, tidak memudaratkan malah durian membekalkan vitamin dan mineral bagi membaiki tisu tubuh yang rosak akibat kerja kuat menggunakan tulang empat kerat,” katanya.

Makan berpada-pada

Menurut Dr Zubaidi, bagi pesakit diabetes mereka tidak digalakkan mengambil durian dalam jumlah yang banyak. Ini kerana durian mengandungi karbohidrat iaitu gula dalam bentuk glukosa dan fruktosa yang tinggi. Ia memberikan tenaga yang agak banyak dan menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat sekali gus memberi kesan buruk kepada organ tubuh.

Durian juga mempunyai bahan sulfur yang menyebabkan kentut berbau. Sebelum kentut ini dikeluarkan, individu mungkin berasa kembung perut.

“Bagi pesakit ginjal dan jantung pula, pengambilan durian secara berlebihan menyebabkan tahap potasium menjadi tinggi dan mengganggu fungsi ginjal. Berbeza mereka yang mempunyai darah tinggi, pengambilan durian secara sederhana tidak memudaratkan dan mungkin dapat membantu menurunkan tekanan darah,” katanya.

ELAK pengambilan durian dengan banyak untuk pesakit diabetes.
ELAK pengambilan durian dengan banyak untuk pesakit diabetes.

Bagi mereka yang sihat, dua atau tiga ulas sudah mencukupi. Ini kerana tahap gula yang tinggi akan dimetabolisme dengan lebih lama dan menyebabkan tubuh berasa panas. Jika diambil sebelum waktu malam, ia mungkin menyebabkan rasa tidak selesa.

“Untuk mengelak pengambilan terlalu banyak, saya mencadangkan kita berkongsi makan durian bersama kawan terutama pada hari tertentu seperti hari lahir. Lebih banyak durian yang dihidangkan, lebih ramai kawan yang dijemput hadir. Ini membantu mengurangkan pengambilan durian.

“Walaupun memakan durian berlebihan mungkin tidak mendatangkan kemudaratan bagi mereka yang sihat. Tetapi elakkan mengambil secara kerap contohnya setiap hari dan dalam jumlah yang banyak. Sebab itu secara semula jadi, kita mudah berasa muak dan tidak berselera makan durian jika selalu dimakan,” katanya.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, sebaik-baiknya hanya mengambil pendekatan ‘merasa’ dan bukan ‘makan’. Jamah hanya dua atau tiga ulas dalam satu hidangan atau lebih selamat hanya dua atau tiga sudu.

Minum air kosong secukupnya bagi mengurangkan rasa panas dan mengelak peningkatan gula dalam darah. Akhir sekali selalu membuat pemantauan kesihatan dengan mendapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor.

Panduan makan durian:

• Jangan mengambil isi durian bersama makanan tinggi karbohidrat (terutama karbohidrat ringkas seperti kek manis atau minuman bergas). Ini akan menyebabkan peningkatan gula dengan cepat. Bagi mereka yang sihat mungkin akan mengalami dehidrasi dan akhirnya pitam. Mereka yang mempunyai penyakit kronik ia sudah pasti akan menyebabkan masalah yang sama.

• Jangan mengambil isi durian bersama makanan atau minuman berkafein (seperti kopi, kola, koko dan teh) kerana ia mungkin menyebabkan rangsangan jantung. Kandungan potasium apabila bergabung dengan kafein menyebabkan kemudaratan pada jantung. Ia mungkin tidak berlaku pada semua orang tetapi ia tetap boleh berlaku.

• Minum banyak air kosong. Tahap gula yang tinggi (terutama apabila memakan terlalu banyak durian) boleh menyebabkan keadaan dehidrasi dan akhirnya mendatangkan kemudaratan. Dengan minum air yang mencukupi, ia dapat mengelakkan dehidrasi.

• Bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan, perlu berhati-hati kerana ada ubat yang mudah diserap dalam badan apabila perut diisi dengan makanan dan ada ubat yang perlu diambil ketika perut kosong. Jadi bertanyakan kepada doktor bagi mengetahui bila sepatutnya diambil.

• Bagi pesakit diabetes, memakan durian boleh menyebabkan peningkatan gula yang tinggi dengan cepat. Oleh itu ubat-ubat diabetes harus diambil segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 2:54 PM