Gurdip Kaur - Pengurus Dietetik Hospital Beacon

Kehilangan selera atau kurang keinginan untuk makan biasanya berkaitan dengan pengurangan pengambilan makanan. Kehilangan selera makan mungkin diakibatkan pelbagai jenis penyakit.

Begitupun, ramai doktor tidak menilai status pemakanan warga emas secara rutin atau merawat punca kehilangan selera makan dengan sepatutnya. Ini boleh memudaratkan warga emas kerana masalah kekurangan zat makanan dan penyusutan otot akan mempengaruhi kualiti hidup mereka.

Kehilangan selera makan adalah masalah kesihatan yang penting bagi warga emas. Terdapat pelbagai punca yang boleh mengakibatkan kejadian ini termasuk:

1. Masalah perubatan yang kronik seperti kanser, penyakit paru-paru, kegagalan jantung, buah pinggang dan hati kronik, penyakit sendi (seperti reumatoid artritis) dan AIDS.

2. Masalah psikologi seperti kemurungan, nyanyuk, keresahan yang memberi tekanan perasaan dan menyebabkan hilang selera makan.

3. Masalah sosial seperti kemiskinan, pengasingan atau kesunyian

4. Masalah pergigian seperti gigi yang rosak dan gigi palsu yang tidak sesuai menyebabkan pemilihan makanan menjadi terhad.

5. Faktor berkaitan kesan sampingan ubat-ubatan menyebabkan mereka tidak dapat menikmati rasa makanan yang sebenar dan ini secara tidak langsung akan mengurangkan selera makan.

6. Masalah pembedahan seperti masalah menelan dan usus tersumbat

7. Sebab lain seperti berasa loya, muntah, kesakitan yang berterusan dan perubahan deria rasa.

Bagi warga emas, kehilangan selera makan boleh membawa kesan seperti:

• Kekurangan zat makanan dan berkaitan dengan penurunan fungsi otot.

• Pengurangan kepadatan tulang.

• Daya pertahanan badan terjejas.

• Kurang darah.

• Pengurangan fungsi kognitif.

• Luka yang lambat sembuh.

• Kualiti hidup terjejas.

• Meningkatkan kejadian morbiditi dan kematian.

Rawatan dan pencegahan

Kehilangan selera makan dan kekurangan status pemakanan adalah tanda klinikal yang perlu dinilai secara rutin pada semua warga emas yang berisiko.

Langkah pencegahan dan rawatan yang berkesan perlu dilaksanakan pada peringkat awal dan membabitkan pasukan pelbagai disiplin untuk melambatkan perkembangan penyakit, meningkatkan fungsi dan kualiti hidup pesakit pada keseluruhannya.

Bagaimana untuk meningkatkan selera makan warga emas? Penjaga warga emas adalah individu yang penting dalam membantu mempertingkatkan selera makan mereka.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diamalkan:

• Sediakan makanan kegemaran warga emas dan jika berpeluang senaraikan beberapa makanan untuk memberi peluang mereka memilih makan yang dikehendaki.

• Hidangkan makanan dalam hidangan yang kecil.

• Cuba menyediakan kepelbagaian resipi setiap hari. Keadaan ini secara tidak langsung akan memberi peluang kepada mereka untuk menikmati menu yang berbeza dan menambahkan selera.

• Gunakan pelbagai perencah seperti perencah asli untuk membangkitkan selera mereka.

• Cuba sediakan makanan mengikut kesesuaian supaya ia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka seperti menyediakan makanan dalam potongan kecil sekiranya mereka mempunyai masalah untuk mengunyah.

• Memastikan mereka minum air secukupnya.

• Memberi sokongan dan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan mengambil berat.

Sebelum mengambil apa-apa jenis suplemen, elok dapatkan nasihat doktor untuk membantu mengurangkan risiko yang tidak diingini berlaku terhadap kesihatan warga emas.

Keperluan pemakanan warga emas

Sama seperti orang muda, warga emas juga perlu mendapat pemakanan seimbang sesuai usia untuk mengekalkan kesihatannya. Kebanyakan warga emas mempunyai keperluan nutrien yang khusus kerana penuaan mempengaruhi proses penyerapan, penggunaan dan perkumuhan.

Kombinasi makronutrien, vitamin, mineral, serat dan air sangat penting untuk membekalkan nutrien yang mencukupi bagi golongan ini.

1. Makronutrien

Sebahagian besar nutrien dalam diet seseorang individu terdiri daripada makronutrien. Ia membekalkan tenaga dan nutrien penting yang diperlukan untuk memelihara kesihatan. Makronutrien adalah nutrien yang membekalkan kalori atau tenaga. Ia terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu karbohidrat, protein dan lemak.

Setiap makronutrien membekalkan kalori, jumlahnya berbeza seperti berikut:

• Karbohidrat membekalkan empat kalori bagi setiap gram.

• Protein membekalkan empat kalori bagi setiap gram.

• Lemak membekalkan sembilan kalori bagi setiap gram.

2. Serat

Serat adalah sebahagian daripada komponen tumbuhan yang tidak boleh dihadam oleh sistem penghadaman manusia. Ia hanya terdapat dalam tumbuhan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kacang dan bijian.

Terdapat dua jenis serat iaitu serat larut dan serat tidak larut. Serat tidak larut akan mengikat kepada air. Ini dapat meningkatkan pukal dan melembutkan najis serta mempercepatkan pergerakannya dalam usus.

Saranan pengambilan serat adalah 20 hingga 30 gram sehari. Antara kebaikan serat kepada kesihatan termasuk:

• Mencegah masalah sembelit.

• Mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

• Kolesterol dikeluarkan dari badan melalui perkumuhan asid hempedu. Serat larut akan terikat pada asid hempedu dan mengakibatkan kolesterol dikeluarkan daripada badan.

Pengambilan makanan yang tinggi kandungan seratnya dikatakan dapat menurunkan paras kolesterol darah, mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser seperti kanser kolon.

3. Vitamin dan mineral yang penting bagi warga emas

Warga emas mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kekurangan vitamin dan mineral serta lebih mudah mendapat beberapa jenis penyakit seperti gastritis, anemia dan penyakit tulang.

Warga emas disarankan untuk mengambil vitamin dan mineral mengikut Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI).

• Vitamin A (retinol) - Karoten adalah provitamin A yang boleh ditukarkan kepada vitamin A (retinol). Ia terdapat dalam tumbuhan, terutama sayuran berdaun hijau, merah, kuning dan buah berwarna oren.

Vitamin A diperlukan badan bagi menghasilkan pigmen retina (mata) dan membantu sistem imun badan berfungsi dengan baik.

Kekurangan vitamin A yang kronik boleh menyebabkan:

• Rabun malam.

• Hilang selera makan.

• Kulit kering dan kasar.

• Sistem imun menjadi lemah.

• Mata kering.

4. Vitamin C

• Membantu badan melawan jangkitan.

• Mengurangkan risiko penyakit.

• Membantu dalam penyerapan ferum.

Kekurangan vitamin C yang kronik boleh menyebabkan:

• Skurvi - penyakit yang menyebabkan gusi menjadi bengkak dan berdarah atau luka yang hampir sembuh terbuka semula.

• Kurang selera makan.

• Gusi berdarah.

• Keletihan.

• Kemurungan.

5. Asid folik

• Kekurangan asid folik yang kronik boleh menyebabkan:

• Anemia

• Lemah

• Keletihan

• Sukar untuk menumpukan perhatian.

• Kerengsaan

• Nafas pendek

• Kecelaruan fikiran (dementia).

• Kemurungan

6. Kalsium

Vitamin D memainkan peranan penting dalam penyerapan kalsium dan kesihatan tulang.

Kalsium diperlukan untuk:

• Membina dan mengekalkan kesihatan gigi dan tulang

• Mengurangkan kehilangan jisim tulang

• Membantu dalam pembentukan dan pemeliharaan tulang.

• Mengekalkan imbangan homeostasis kalsium

• Membantu dalam pembekuan darah secara normal

• Mengekalkan fungsi saraf dan kawal atur otot jantung

• Kekurangan kalsium yang kronik boleh menyebabkan:

• Pengecutan otot

• Sakit otot

• Kekejangan

• Kebas di tangan dan kaki

• Osteomalasia (tulang lembut)

• Osteoporosis

7. Zat besi

• Menghasilkan sel darah merah

• Mengangkut oksigen dalam badan

• Penting untuk fungsi otak terutamanya bagi pembelajaran dan daya ingatan

Kekurangan zat besi yang kronik boleh menyebabkan:

• Kulit pucat

• Badan lemah

• Lesu

• Anemia

8. Zink

• Membantu proses penghadaman karbohidrat, lemak dan protein.

• Mencegah pengurangan sensitiviti deria rasa dan hidu.

• Kekurangan zink yang kronik boleh menyebabkan:

• Penyembuhan luka yang lambat

• Kehilangan deria rasa

9. Air

Diperlukan untuk meningkatkan fungsi badan. Pengambilan air adalah penting untuk warga emas kerana mereka kurang rasa haus.

Saranan pengambilan air adalah enam hingga lapan gelas sehari atau 1.5 hingga dua liter sehari. Air mencukupi membantu:

• Penghadaman, penyerapan, peredaran (darah mengandungi 80 peratus air) atau perkumuhan (urin mengandungi 97 peratus air).

• Mengawal suhu badan serta sebagai pelincir sendi dan organ dalaman seperti usus dan perut.

Kurang zat

Populasi warga emas lebih terdedah kepada banyak risiko kesihatan disebabkan kekurangan nutrien dalam pemakanan mereka. Perubahan fisiologi, psikologi dan ekonomi semasa peringkat ini boleh menyumbang kepada pemakanan yang kurang sihat.

Ini boleh menjurus kepada keadaan seperti malnutrisi, kurang zat makanan dan berlebihan zat makanan. Malnutrisi ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau nutrien yang tidak mencukupi.

Kurang zat makanan pula merujuk kepada keadaan penyerapan nutrien adalah rendah atau kehilangan nutrien yang berlebihan manakala berlebihan zat makanan disebabkan pengambilan makanan atau nutrien yang berlebihan.

Ramai warga emas mengalami kesukaran untuk mendapat pemakanan yang sihat. Pemakanan warga emas boleh dipengaruhi keadaan seperti kesihatan oral yang kurang baik, gangguan perut, hilang selera makan, kesihatan fizikal yang lemah, masalah sosioekonomi dan juga pelbagai masalah lain.

Berikut adalah beberapa cadangan untuk memperbaiki cara penyediaan makanan:

• Buah-buahan segar. Pilih buah yang lembut seperti betik dan pisang. Jus buah dan buah dalam tin yang lembut adalah alternatif yang baik.

• Sayur-sayuran mentah. Cincang halus sayuran dan lecekkan sayur yang dimasak.

• Daging. Gantikan dengan pilihan yang lebih lembut seperti ikan dan ayam. Cincang atau kisar daging hingga halus supaya mudah dimasak.

• Nasi. Lebihkan air ketika memasak nasi supaya lebih lembut. Lenyek sekiranya perlu. Boleh juga sediakan bubur nasi atau oat sebagai alternatif yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 2:09 PM