SENAMAN beban ringan boleh membina otot warga emas.
SENAMAN beban ringan boleh membina otot warga emas.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


BANYAK pengajaran diperoleh daripada pandemik Covid-19, terutama mengenai warga emas sebagai golongan paling berisiko sepanjang krisis kesihatan ini.

Warga emas lebih terdedah kepada jangkitan virus dan penyakit kerana sistem imun mereka menjadi kurang efektif atas faktor usia yang lanjut.

Dalam sesetengah kes, pesakit Covid-19 warga emas mungkin tidak didiagnosis mengalami masalah kekurangan zat makanan, otot lemah dan keadaan kesihatan kronik sedia ada seperti kencing manis serta darah tinggi.

Semua faktor ini boleh meningkatkan risiko kesihatan yang lebih buruk dan kematian.

Pengarah Perubatan Perubatan Abbot di Malaysia Dr Nina Mazera Mohd Said berkata, warga emas boleh melindungi diri mereka daripada jangkitan virus Covid-19 melalui suntikan vaksinasi, mengehadkan interaksi sosial, penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri.

Namun, menurutnya, ramai warga emas berusia lebih 65 tahun mungkin tidak menyedari bahawa penuaan sihat dan meningkatkan sistem imun bermula dengan amalan kerap bersenam serta pemakanan seimbang.

"Warga emas perlu mempunyai jisim otot tanpa lemak yang mencukupi, digalakkan amalan pemakanan sihat dan melakukan aktiviti fizikal untuk menghalang jangkitan.

"Otot memainkan peranan penting terhadap kesihatan seperti mobiliti dan keseimbangan, kekuatan, imuniti serta penyembuhan luka.

"Individu mempunyai jisim otot yang rendah, mungkin sukar untuk bangun daripada kerusi atau berhadapan dengan tempoh pemulihan yang panjang apabila sakit atau dimasukkan ke hospital.

"Bermula pada usia 40 tahun, individu boleh kehilangan otot sehingga lapan peratus setiap tahun. Oleh itu, sangat penting mengekalkan kesihatan dan kekuatan otot," katanya.

WARGA emas perlu makanan tinggi nutrisi.
WARGA emas perlu makanan tinggi nutrisi.

Dr Nina Mazera berkata, kekal aktif adalah antara cara untuk menggalakkan kesihatan otot dan meningkatkan sistem imun bagi membantu melawan serangan virus.

Beliau berkata, senaman secara kerap juga membantu melindungi diri daripada penyakit dan penting untuk meningkatkan kesihatan kardiovaskular, menurunkan tekanan darah, mengawal berat badan serta mengekalkan kekuatan otot.

"Warga emas boleh melakukan senaman tradisional seperti tai ji quan atau qigong atau yoga.

"Mereka juga digalakkan melakukan latihan daya tahan seperti mengangkat berat ringan atau senaman menggunakan berat badan sendiri untuk meningkatkan kesihatan otot, tulang dan fizikal secara keseluruhannya," katanya.

Jelasnya, bersenam perlu digabungkan dengan pemakanan yang baik untuk mengekalkan kesihatan otot.

"Ia termasuk pengambilan protein, zat besi, antioksidan, vitamin dan mineral yang boleh membantu kedua-dua otot serta sistem imun berfungsi dengan baik.

"Penting kepada warga emas untuk mengambil sumber protein mencukupi, bukan sahaja untuk menyokong kesihatan otot, tetapi juga membina antibodi dan sel sistem imun.

"Sesuatu yang mencabar ialah untuk memastikan warga emas mengambil jumlah protein mencukupi disebabkan masalah kurang selera makan.

"Oleh itu, mereka boleh mendapatkan protein daripada sumber lain seperti kacang soya, tauhu, kacang, ikan dan produk tenusu," katanya.

Dr Nina Mazera berkata, kajian klinikal terbesar di Asia iaitu 'Strengthening Health in ELDerly through nutrition' dijalankan mengenai kesan nutrisi kepada warga emas.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan kesihatan golongan berkenaan dengan memberikan pandangan mengenai faedah intervensi pemakanan.

"Penemuan kajian daripada Hospital Besar Changi Singapura, Poliklinik SingHealth dan Abbott mendapati, satu daripada tiga orang dewasa berisiko mengalami kekurangan zat makanan.

"Lebih 35 peratus orang dewasa dimasukkan ke hospital disebabkan masalah kekurangan nutrisi.

"Penyelidik juga mendapati prevalens tinggi jisim otot rendah di antara empat dalam lima warga emas yang berisiko mengalami kekurangan zat makanan boleh memberi kesan kepada kesihatan dan fungsi sistem imun secara keseluruhannya,.

"Kajian klinikal terhadap 811 individu berumur 65 dan ke atas mendedahkan, mereka yang menerima kaunseling diet dan mengambil suplemen pemakanan oral mengandungi protein serta 'hydroxymethylbutyrate' menunjukkan risiko kekurangan zat makanan tiga kali lebih rendah.

"Selain itu, mereka juga mengalami peningkatan kesihatan keseluruhan, kurang masuk ke hospital, kekuatan kaki dan genggaman tangan menjadi lebih baik," katanya.

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ada menyatakan penduduk Malaysia yang semakin tua berhadapan banyak risiko kesihatan iaitu penyakit berjangkit dan tidak berjangkit juga beban berganda akibat kekurangan zat makanan.

"Dr Noor Hisham menambah, keadaan diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang bukan hanya menjejaskan sistem makanan global malah tempatan.

"Corak pemakanan rakyat Malaysia dewasa menyumbang kepada peningkatan trend obesiti dan diet lain berkaitan penyakit kronik.

"Hanya kira-kira seorang dalam 10 rakyat Malaysia makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi.

"Golongan warga emas semakin meningkat maka kesihatan penduduk Malaysia yang semakin tua perlu menjadi keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 6:30 AM