MATA malas akan memberi kesan kepada retina.
MATA malas akan memberi kesan kepada retina.
Oleh Aida Adilah Mat


MATA malas dan juling adalah dua perkara yang berbeza, namun kedua-duanya ada kaitan dengan penglihatan kanak-kanak. Mungkin ada ibu bapa yang tidak dapat membezakan antara mata malas dan juling yang menyebabkan mereka tidak membawa anak mendapatkan rawatan.

Sebenarnya mata malas tidak sama dengan juling, namun mata malas boleh menyebabkan juling dan sebaliknya.

Dalam istilah perubatan mata malas dikenali sebagai ambliopia dan kebiasaannya berlaku apabila terdapat halangan kepada penglihatan kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun.

Struktur mata malas ini sebenarnya adalah normal, namun ia tidak berfungsi dengan sempurna disebabkan pertumbuhan fungsi saraf mata yang terbantut.

Berita baiknya, keadaan ini boleh diperbaiki dan ada jalan untuk menyembuhkannya. Antara punca mata malas adalah juling sebelah mata yang kekal, rabun (sama ada dekat atau jauh) dan penglihatan terhalang secara fizikal.

Semua keadaan ini akan menghalang maklumat penglihatan sampai ke otak, menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Jadi, otak akan mengabaikan mata kabur dan melihat dengan hanya menggunakan mata yang normal.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pediatrik Oftalmologi, Dr Fiona Chew Lee Min berkata, ibu bapa perlu mengenal pasti keadaan mata anak agar mereka boleh mendapat rawatan secepat mungkin.

Katanya, jika ibu bapa mengambil remeh masalah mata malas ini ia akan mendatang kesan buruk kepada perkembangan otak anak.

“Kesannya lebih kepada penglihatan. Pesakit yang ada mata malas sukar membaca dan memahami pelajaran.

“Pesakit juga akan berdepan masalah menganggar jarak dan kurang penglihatan tiga dimensi kerana melihat dengan satu mata.

“Banyak kesan negatif akan dihadapi oleh anak antaranya kemerosotan pelajaran. Kanak-kanak akan kekok, senang mendapat kemalangan ketika turun tangga atau melintas jalan, longkang dan kerap terhantuk kerana kesukaran untuk menganggar jarak.

“Mereka juga akan berdepan masalah memandu kenderaan dan peluang pekerjaan yang terhad jika tidak dirawat,” katanya yang menjelaskan peratusan mata malas di Malaysia adalah sekitar 2.9 ke 9.4 peratus.

Bagaimanapun, Dr Fiona menjelaskan, adalah sukar untuk mengenal pasti mata malas ini kecuali kanak-kanak berkenaan mendapatkan pemeriksaan doktor mata.

Katanya, adalah penting berjumpa dengan pakar oftalmologi yang bertauliah sebaiknya pakar yang mempunyai pengkhususan dalam pediatrik oftalmologi.

PUNCA MATA MALAS

Punca kepada mata malas terbahagi kepada tiga iaitu ‘strabismic’ (mata juling), ‘refractive’ (rabun) dan ‘visual deprivation’ (halangan kepada penglihatan).

Pesakit strabismic ini adalah pesakit yang mempunyai penglihatan berganda dan otak tidak dapat menggabungkan imej yang berganda.

Otak hanya akan memilih satu mata untuk fokus dan tidak menggunakan mata yang juling. Oleh sebab itu mata yang juling itu akan menjadi mata malas.

Refractive pula disebabkan imej yang tidak fokus kepada saraf mata (retina) manakala visual deprivation adalah penyakit seperti selaput mata (katarak). Mata kuyu yang teruk atau masalah dalam jeli bola mata seperti pendarahan boleh mengakibatkan mata malas.

TANDA DAN GEJALA MATA MALAS

- Tahap penglihatan 6/12 atau lebih teruk

- Tidak suka mata yang bagus ditutup

- Lebih sukar membaca huruf dalam barisan berbanding dengan huruf yang ditayangkan berasingan

- Juling

- Sukar untuk mengenal pasti mata malas kecuali kanak-kanak itu mendapatkan pemeriksaan doktor mata.

TIP MENGHINDARI TERJADI MATA MALAS

- Mendapatkan pemeriksaan mata yang berkala pada usia enam bulan, satu tahun, tiga tahun, tujuh tahun dan 12 tahun sekiranya tiada masalah mata.

- Mendapatkan rawatan seawal yang mungkin sekiranya ada masalah mata.

- Amalkan tabiat mata sihat (contohnya membaca di tempat terang)

- Elakkan bermain gajet

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:15 AM