ISLAM Khalilov. FOTO Agensi
ISLAM Khalilov. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Pentadbiran Agama Islam Persekutuan Rusia dan Majlis Mufti Rusia, Selasa lalu, menganugerahkan pingat kepada kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun, Islam Khalilov yang menyelamatkan berpuluh-puluh orang semasa serangan di dewan konsert, Crocus City Hall di sini, minggu lalu.

Memetik laporan Agensi Anadolu, pada majlis yang diadakan sebelum solat Jumaat di Masjid Katedral Moscow itu, Khalilov dihadiahkan Medal for Service to Muslims of Russia, kerana keberaniannya.

Pingat itu diserahkan oleh pengerusi persatuan agama, Ravil Gaynutdin.

"Saya tahu bahawa apa yang berlaku akan kekal sebagai luka di hati sepanjang hayat anda. Tetapi apa yang anda lakukan juga akan kekal dalam ingatan anda, tetapi perkara yang paling penting adalah dalam ingatan seluruh masyarakat kita, seluruh rakyat kita dan semua rakyat yang mengucapkan takziah kepada presiden kami dan rakyat Rusia," katanya.

Dalam kejadian itu, Khalilov membuka pintu dan memberikan arahan keluar apabila dia melihat sekumpulan orang berlari dari dewan konsert yang dikepung.

Gaynutdin berkata, dia juga akan menyampaikan pingat kepada rakan sekerja Khalilov, Artyom Donskov, seorang Ortodoks Rusia yang turut membantu orang ramai meninggalkan dewan konsert semasa serangan itu dan sekali gus menyelamatkan nyawa mereka.

Kedua-dua Khalilov dan Donskov bekerja di bahagian almari pakaian di dewan konsert berkenaan.

Mereka juga dianugerahkan pingat untuk keberanian oleh pesuruhjaya Rusia untuk hak kanak-kanak, minggu lalu.

Terdahulu, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai di Krasnogorsk, sebuah bandar di wilayah Moscow pada 22 Mac lalu dan menyebabkan sekurang-kurangnya 144 orang terbunuh.

Susulan insiden ini, AFP melaporkan empat lelaki didakwa kerana terbabit dalam serangan itu. Mereka didakwa atas kesalahan keganasan dan ditahan sementara menunggu perbicaraan.

Keempat-empat mereka berdepan risiko dihukum penjara seumur hidup, menurut satu kenyataan dari mahkamah daerah Basmanny, Moscow.

Lelaki berkenaan diperintah untuk ditahan sehingga 22 Mei namun tempoh itu boleh dilanjutkan bergantung kepada tarikh perbicaraan.

Mahkamah dalam satu kenyataan berkata, dua daripada defendan terbabit mengaku bersalah, dengan seorang daripada mereka, yang berasal dari Tajikistan, mengakui sepenuhnya atas kesalahan terbabit.

Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan, kesemua lelaki bersenjata itu adalah warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 12:36 PM