SALAH seorang daripada empat suspek pengganas dibawa masuk ke mahkamah di Moscow. FOTO AFP
SALAH seorang daripada empat suspek pengganas dibawa masuk ke mahkamah di Moscow. FOTO AFP
AFP

Moscow: Empat lelaki didakwa pada Ahad kerana dituduh terbabit dalam serangan mengorbankan sekurang-kurangnya 137 mangsa di dewan konsert, Crocus City Hall, pinggir Moscow, Jumaat lalu.

Mereka didakwa atas kesalahan keganasan dan ditahan sementara menunggu perbicaraan.

Keempat-empat mereka berdepan risiko dihukum penjara seumur hidup, menurut satu kenyataan dari mahkamah daerah Basmanny, Moscow.

Lelaki berkenaan diperintah untuk ditahan sehingga 22 Mei, namun tempoh itu boleh dilanjutkan bergantung kepada tarikh perbicaraan.

Mahkamah dalam satu kenyataan berkata, dua daripada defendan terbabit mengaku bersalah, dengan seorang daripada mereka, yang berasal dari Tajikistan, mengakui sepenuhnya atas kesalahan terbabit.

Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan, kesemua lelaki bersenjata itu adalah warga asing.

Pihak berkuasa Rusia berkata, mereka sudah menahan 11 orang berhubung serangan itu, termasuk empat daripada mereka yang melakukan pembunuhan itu.

Mahkamah menyiarkan rakaman yang menunjukkan tiga suspek dibawa ke bilik mahkamah dengan tangan digari mereka oleh anggota polis, sebelum diarah duduk di dalam bilik kaca yang dikhaskan untuk defendan.

Suspek keempat dibawa masuk dengan kerusi roda dan matanya ditutup.

Seorang daripada defendan hadir dengan keadaan sebelah telinganya berbalut, seperti dalam video awal penahanan mereka pada Sabtu.

Walaupun kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, Presiden Russia, Vladimir Putin, tidak menolak kemungkinan pembabitan Kyiv apabila beliau pada Sabtu berkata, mereka ditangkap ketika cuba melarikan diri ke Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Amerika Syarikat (AS) menolak sebarang tuduhan mengenai pembabitan Kyiv.

Serangan terbabit menyebabkan kematian terbesar di Russia sejak awal 2000.

Rakaman video ketika serangan menunjukkan orang ramai yang hadir untuk menyaksikan konsert terbabit berasak-asak menyerbu pintu keluar dengan kedengaran suara jeritan serta bunyi tembakan bertubi-tubi.

Rakaman video lain pula menunjukkan beberapa lelaki melepaskan tembakan ke arah orang ramai, dengan sejumlah mangsa rebah dalam keadaan berlumuran darah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 10:51 AM