KEADAAN di dewan konsert yang menjadi tempat serangan pengganas di Moscow. FOTO REUTERS
KEADAAN di dewan konsert yang menjadi tempat serangan pengganas di Moscow. FOTO REUTERS
Reuters

Moscow: Rusia telah menahan 11 orang termasuk empat lelaki yang disyaki terbabit insiden tembakan yang membunuh 93 orang di sebuah dewan konsert berhampiran Moscow, kata Kremlin pada Sabtu.

Ia berkata ketua perkhidmatan keselamatan FSB Alexander Bortnikov telah melaporkan kepada Presiden Vladimir Putin bahawa mereka yang ditahan termasuk "empat pengganas" dan perkhidmatan itu sedang berusaha untuk mengenal pasti rakan sejenayah mereka.

Jawatankuasa Penyiasatan Rusia berkata angka kematian melonjak kepada 93 dalam serangan di mana lelaki bersenjata berpakaian penyamaran melepaskan tembakan dengan senjata automatik ke arah penonton konsert berhampiran ibu negara pada Jumaat.

Ahli parlimen Rusia Alexander Khinshtein berkata penyerang telah melarikan diri dengan sebuah kenderaan Renault yang dikesan polis di wilayah Bryansk, kira-kira 340 km barat daya Moscow pada malam Jumaat dan tidak mematuhi arahan untuk berhenti.

Beliau berkata dua ditahan selepas kereta itu berjaya dijejaki dan dua lagi melarikan diri ke dalam hutan. Bagaimanapun, kedua-duanya berjaya ditahan.

Khinshtein berkata, pistol, peluru untuk senapang serangan, dan pasport dari Tajikistan ditemui di dalam kereta itu.

IS telah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, yang paling maut di Rusia sejak pengepungan sekolah Beslan pada 2004.

Penembakan itu berlaku pada petang Jumaat di Dewan Bandaraya Crocus, sebuah tempat konsert di sebelah barat Moscow di mana kumpulan rock era Soviet membuat persembahan.

Video yang disahkan menunjukkan orang ramai mengambil tempat duduk di dalam dewan, kemudian bergegas ke pintu keluar apabila tembakan berulang kali dilepaskan.

Video lain menunjukkan lelaki menembak sekumpulan orang. Beberapa mangsa terbaring tidak bergerak dalam genangan darah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 5:26 PM