PELARIAN Rohingya menunggu untuk mendapatkan sumbangan di kem perlindungan sementara di Lhokseumawe, Aceh. FOTO AFP
PELARIAN Rohingya menunggu untuk mendapatkan sumbangan di kem perlindungan sementara di Lhokseumawe, Aceh. FOTO AFP
AFP

Geneva: Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, tentera Myanmar terbabit menghasut kebencian terhadap Rohingya dalam puluhan laman Facebook (FB).

Ucapan kebencian terhadap Rohingya itu kebanyakannya dibuat sebelum tindakan kerasnya pada 2017 terhadap minoriti kebanyakan Muslim itu.

Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) PBB berkata, terdapat bukti jelas tentera Myanmar secara rahsia mengatur kempen ucapan kebencian itu.

"Tentera secara sistematik dan terkoordinasi menyebarkan bahan yang direka untuk menimbulkan ketakutan dan kebencian terhadap minoriti Rohingya.

"Ia mencapai ini dengan mencipta rangkaian laman rahsia di media sosial yang berpotensi menjangkau jutaan penonton," kata penyiasat dalam laporan baharu, semalam.

IIMM ditubuhkan Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2018 untuk mengumpul bukti jenayah antarabangsa yang paling serius dan menyediakan fail untuk pendakwaan jenayah.

Analisis baharunya melihat kandungan yang disiarkan pada 43 laman FB, antara Julai dan Disember 2017.

Laporan itu mendapati, laman yang kelihatan tidak berkaitan, kebanyakannya tanpa pertalian luar kepada tentera dan termasuk beberapa yang menumpukan kepada berita selebriti dan budaya popular, membentuk rangkaian saling berkaitan

Laporan itu mengenal pasti 10,485 item dengan ucapan kebencian pada laman dan yang dialih keluar FB daripada platformnya pada Ogos 2018.

Penyiasat IIMM menekankan, kempen ucapan kebencian tentera berlaku sangat banyak ketika banyak perkampungan Rohingya dibakar dan manakala ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya dipukul, diserang secara seksual atau dibunuh.

Kata IIMM, tindakan itu berterusan apabila ratusan ribu Rohingya terpaksa melarikan diri dari rumah mereka.

Pada penghujung 2021, pelarian Rohingya menyaman FB sebanyak AS$150 bilion (RM709. 95 bilion) mendakwa rangkaian sosial itu gagal membendung ucapan kebencian yang ditujukan terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 12:26 PM