Reuters

YANGON: Facebook mengakui pihaknya ‘terlalu lambat’ menangani ucapan bermotif kebencian di Myanmar dan bertindak mengatasi masalah itu dengan mengambil lebih ramai penduduk tempatan serta melabur dalam teknologi bagi mengenal pasti kandungan bermasalah.

Pengakuan itu dibuat sehari selepas satu siasatan Reuters menunjukkan mengapa syarikat media sosial itu terlalu lambat menghentikan gelombang tulisan menyakitkan hati mengenai minoriti Rohingya.

Kira-kira 700,000 Muslim Rohingya lari dari rumah mereka tahun lalu selepas tindakan keras tentera dikecam Amerika Syarikat (AS) sebagai pembersihan etnik. Etnik itu kini hidup dalam kem pelarian daif di Bangladesh.

“Keganasan etnik di Myanmar agak menakutkan dan kami terlalu lambat menghalang salah maklumat dan ucapan kebencian daripada tersebar dalam Facebook,” kata Facebook dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan hari ini, dihantar dalam talian, Facebook berkata, ia menggunakan alat yang secara automatik mengesan ucapan kebencian dan mengambil lebih banyak penutur bahasa Myanmar untuk mengkaji tulisan seperti itu, susulan jaminan dibuat pengasasnya Mark Zuckerberg kepada Senator AS April lalu.

Syarikat berkata, ia mengambil lebih 60 pakar bahasa Myanmar Jun lalu dan bercadang memiliki sekurang-kurangnya 100 orang menjelang akhir tahun.

Reuters mendapati, lebih 1,000 contoh tulisan, komen, imej dan video menghina dan menyerang Rohingya serta Muslim lain di platform media sosial itu sehingga minggu lalu.

Sesetengah bahan yang termasuk imej pornografik anti-Islam dipaparkan dalam Facebook sehingga enam tahun.

Ada banyak tulisan yang menggelar Rohingya dan Muslim lain sebagai anjing dan perogol serta menggesa mereka dibunuh.

Facebook ketika ini tidak memiliki kakitangan tunggal di Myanmar, sebaliknya bergantung kepada sumber luar, operasi rahsia di Kuala Lumpur digelar ‘Project Honey Badger’ untuk memantau ucapan berbaur kebencian dan tulisan bermasalah lain, siasatan Reuters menunjukkan.

Oleh kerana sistem Facebook bergelut menterjemah bahasa Myanmar, syarikat itu amat bergantung kepada pengguna yang melaporkan tulisan kebencian di negara itu.

Penyelidik dan aktivis hak asasi berkata, mereka memberi amaran kepada Facebook selama bertahun mengenai bagaimana platformnya digunakan untuk menyebar kebencian terhadap Rohingya dan penganut Islam lain di Myanmar.

Dalam kenyataan hari ini, Facebook berkata, ia melarang sejumlah individu dan pertubuhan yang mencetuskan kebencian di Myanmar daripada menggunakan platformnya. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 8:06 PM