WIRATHU
WIRATHU
Reuters

YANGON: Sebuah mahkamah di Myanmar mengeluarkan waran tangkap ke atas sami Buddha anti-Islam, Wirathu, atas dakwaan menghasut, kata polis hari ini.

Wirathu dikenali dengan retorik terhadap minoriti Islam, terutama komuniti Rohingya, tetapi turut kritikal terhadap kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi dan menyokong tentera Myanmar yang berpengaruh.

Jurucakap polis, Myo Thu Soe, berkata waran tangkap dikeluarkan semalam oleh mahkamah di Yangon.

Pada perhimpunan baru-baru ini, Wirathu menuduh kerajaan mengamalkan rasuah dan mengkritiknya kerana cuba menggubal Perlembagaan yang akan mengurangkan kuasa tentera.

“Tuduhan menghasut ini adalah bentuk buli ke atas Wirathu.

“Kami tidak akan memberitahu apa akan dilakukan jika dia ditahan, tetapi jelas kami tidak akan berdiam diri,” kata sekutu Wirathu, Thu Saitta.

Wirathu dilarang oleh pihak berkuasa agama tertinggi Myanmar daripada menyampaikan ucapan selama setahun sehingga awal tahun lalu kerana sering mengeluarkan kenyataan kebencian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 5:08 PM