Wirathu (depan) dan rombongannya di lapangan terbang Sittwe untuk ke Rakhine, semalam. - Agensi
Wirathu (depan) dan rombongannya di lapangan terbang Sittwe untuk ke Rakhine, semalam. - Agensi

Yangon: Sami Buddha Myanmar yang pernah digelar ‘wajah pengganas Buddha’ kerana kenyataan anti-Islamnya, melawat negeri Rakhine semalam.

Lawatan Wirathu dilihat sebagai satu provokasi yang dilakukan tidak lama selepas operasi kejam tentera terhadap golongan minoriti Rohingya yang beragama Islam.

Wirathu melawat bandar Maungdaw, berhampiran pusat keganasan di utara Myanmar berkenaan, kata pengiringnya, Phoe Thar melalui telefon kepada AFP.

Kehadiran Wirathu di Rakhine kemungkinan menyemarakkan semula ketegangan agama antara penduduk Rakhine yang beragama Buddha dan etnik Rohingya serta penduduk beragama Islam di Myanmar.

Operasi tentera selama sebulan di negeri itu didakwa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebabkan ratusan penduduk Rohingya terbunuh dan lebih 70,000 lagi menjadi pelarian.

Penyiasat PBB berkata, operasi tentera bagi menghapuskan kegiatan militan menyebabkan berlakunya jenayah rogol dan pembunuhan terhadap Rohingya yang boleh disamakan seperti penghapusan etnik.

Bagaimanapun, kerajaan Myanmar menafikan dakwaan itu.

Lebih sejuta etnik Rohingya di Rakhine dinafikan hak kewarnegaraan dan sering ditindas penduduk Buddha yang menuduh mereka pendatang dari Bangladesh.

Naib Presiden Parti Nasional Arakan (Rakhine), Khine Pyi Soe mengalu-alukan kedatangan Wirathu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:09 AM