BLAUS dipakai oleh Puteri Diana untuk potret pertunangannya pada 1981. FOTO  Julien's Auctions
BLAUS dipakai oleh Puteri Diana untuk potret pertunangannya pada 1981. FOTO Julien's Auctions
Agensi

London: Baju pernah dipakai oleh mendiang Puteri Diana untuk potret pertunangannya pada 1981, antara barangan yang akan dijual pada acara lelongan pakaian terkenal, lapor portal Irish News.

Acara itu dikendalikan oleh Julien's Auctions dan Turner Classic Movies (TCM) dan akan diadakan di Beverly Hills, Los Angeles, juga secara dalam talian bermula 14 hingga 17 Disember depan.

Blaus krep merah jambu dengan kolar seakan beropol dan mempunyai lipatan longgar di bahagian hadapan itu dipakai Diana, dan gambarnya itu dirakam oleh jurugambar diraja, Lord Snowden.

Baju itu direka oleh pereka fesyen, David dan Elizabeth Emanuel yang turut mereka gaun perkahwinan Diana dengan Putera Charles.

Pakaian itu dijangka dilelong pada harga antara AS$80,000 hingga AS$100,000 (kira-kira RM374,000 hingga RM468,000).

Blaus itu sebelum ini dipamerkan di Istana Kensington di London sebagai sebahagian daripada pameran Diana: Her Fashion Story pada 2019.

Potret Diana memakai baju itu, diterbitkan dalam majalah Vogue, bertepatan dengan pengumuman rasmi pertunangan Charles dan Diana pada Februari 1981, menurut Galeri Potret Negara.

Sementara itu, acara lelongan empat hari yang dipanggil Hollywood Legends itu, turut menjual gaun malam yang dipakai oleh Diana.

Direka oleh pereka fesyen kelahiran Maghribi Jacques Azagury untuk diraja, gaun malam itu dipakai Diana di Florence, Itali, pada April 1985.

Menampilkan skirt ballerina, pakaian itu dianggarkan bernilai antara AS$100,000 hingga AS$200,000 (kira-kira RM468,000 hingga RM936,000).

Pakaian bintang Hollywood lain turut dilelong dalam acara sama termasuk pakaian Givenchy yang dipakai oleh Audrey Hepburn dalam filem komedi ditayangkan pada 1963, Charade.

Dalam pada itu, komputer riba Apple PowerBook G3 yang digunakan oleh Sarah Jessica Parker ketika melakonkan watak Carrie Bradshaw dalam siri televisyen popular Sex And The City, akan turut dilelong.

Komputer itu dianggarkan akan dijual pada harga antara AS$800 hingga AS$1,200 (kira-kira RM3,747 hingga RM5,600).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 2:20 PM