ANTARA pakaian milik Puteri Diana yang akan dilelong Julien's Auctions. FOTO AFP
ANTARA pakaian milik Puteri Diana yang akan dilelong Julien's Auctions. FOTO AFP
AFP

Hong Kong: Lapik bahu, warna kuning dafodil dengan butang emas berkilauan. Itu kemasan pada sut yang dipakai oleh Puteri Diana semasa lawatannya di Hong Kong pada 1989.

Ia antara enam pakaian milik Puteri Wales yang kini dipamerkan di wilayah bekas jajahan British itu.

Koleksi itu dipamerkan selama 12 hari di sebuah pusat beli-belah di sini bermula Khamis lalu. Ia kemudiannya akan dipamerkan di Ireland pada pameran berasingan, sebelum dilelong pada satu acara pada 27 Jun depan.

"Beliau (Puteri Diana) memberikan makna fesyen setiap kali dia berpakaian dan keluar rumah," kata Martin Nolan, pengarah eksekutif Julien's Auctions yang berpangkalan di California.

Sut kuning yang direka oleh Catherine Walker itu dianggarkan bernilai sehingga AS$50,000 (kira-kira RM239,500).

Gaun tulle, satu lagi pakaian milik Diana yang akan dilelong itu pula dijangka bernilai AS$400,000 (kira-kira RM1.9 juta),

Mengingati lawatan Diana di Hong Kong pada 1989, seorang pembeli berusia bernama Fung berkata, jalan raya Hong Kong sesak dengan orang ramai yang berharap dapat melihat puteri raja itu.

"Diana seorang yang berkarisma, penyayang dan setia kepada kebajikan. Itulah sebabnya ramai warga Hong Kong menghormatinya," kata Fung.

Busana lain yang akan dilelong termasuk gaun malam sutera dan renda rekaan, Victor Edelstein, serta gaun bunga merah jambu, Catherine Walker. Ia dipakai Diana pada 1991.

Nolan berkata: "Orang ramai masih mencintai Diana seolah-olah dia bersama kami hari ini, dan itulah perkara yang menakjubkan mengenainya."

Tahun lepas, Julien's Auctions menjual salah satu pakaian malam Diana pada harga AS$1.14 juta (RM5.46 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 1:14 PM