Agensi

London: Barang kemas milik Puteri Diana akan dilelong bagi mengumpul dana untuk perang Ukraine, lapor Metro UK.

Set rantai bersama subang bertatahkan berlian dan mutiara adalah pemberian kekasihnya, Dodi Al-Fayed.

Ia akan dipamerkan di London sebelum dilelong di New York, bulan depan, dengan nilainya boleh mencecah 10 juta pound sterling (kira-kira RM55.8 juta).

Barangan kemas itu dipakai Puteri Diana pada upacara rasmi terakhir dihadirinya di Royal Albert Hall di sini, sebelum meninggal dunia pada 1997.

Set itu dimiliki oleh keluarga Ukraine sejak 2008 dan dipercayai kali pertama barang kemas milik Puteri Diana dijual secara terbuka, selepas mendapat persetujuan kakak Diana, Lady Sarah McCorquodale.

Kebanyakan barang kemas dipakai Diana dipinjamkan kepadanya oleh istana ketika mendiang menjadi sebahagian ahli keluarga diraja.

Pakar di Rumah Lelong New York, Guernsey tidak menolak kemungkinan set itu akan dilelong pada harga antara empat juta pound sterling (kira-kira RM22 juta) sehingga 11 juta pound sterling (kira-kira RM61 juta).

Presidennya, Arlan Ettinger berkata, Puteri Diana adalah wanita dikagumi seluruh dunia dan barangan kemas dikenali sebagai 'Suite Swan Lake' dibuat khas untuknya.

"Ia dianggap satu-satunya barang kemas Diana yang pernah dijual, menjadikannya sangat penting," katanya.

Selepas kematian Diana, keluarganya memberi kebenaran untuk rantai dan subang itu dijual dengan sebahagian hasil disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Subang itu dibuat untuk dipadankan dengan rantai tetapi tidak dapat disiapkan sebelum kematiannya.

Lelongan Diana itu disertakan bersama surat ketulenan daripada bekas butler Diana, Paul Burrell yang bertarikh April 1998.

Ia dibeli pada 1999 oleh ahli perniagaan Amerika Syarikat, Jim McIngvale dengan harga hampir AS$1 juta (kira-kira RM4.5 juta) tetapi beliau menjualnya semula kepada keluarga Ukraine semasa kegawatan ekonomi pada 2008.

SET barang kemas pernah dipakai Puteri Diana yang dikenali sebagai 'Suite Swan Lake'. FOTO Guernsey
SET barang kemas pernah dipakai Puteri Diana yang dikenali sebagai 'Suite Swan Lake'. FOTO Guernsey

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 2:14 PM