NATALIA Bochkareva.
NATALIA Bochkareva.
Agensi

Moscow: Kematian mengejut Natalia Bochkareva yang juga anak perempuan kepada sekutu Presiden Rusia, Vladimir Putin pada 11 Julai lalu terus menjadi misteri.

Kematian wanita berusia 44 tahun itu adalah yang terbaharu dalam kalangan elit Rusia dan berlaku hanya seminggu selepas sekutu Putin yang lain tiba-tiba maut tanpa sebab yang dapat dijelaskan.

Natalia tinggal di sebuah hartanah mewah di daerah Presnensky dan sehari sebelum meninggal dunia, dia dikatakan berasa tidak sihat.

Mayatnya ditemui seorang petugas di apartmen itu selepas tidak membuka pintu.

Laporan awal mengatakan Natalia mengalami masalah jantung dan pihak berkuasa tidak menemui unsur jenayah dalam kematiannya.

Natalia ialah anak perempuan sekutu Putin iaitu mendiang Vasily Bochkaryov yang juga bekas gabenor wilayah.

Vasily turut menganggotai parti sama dengan Putin, United Russia yang menguasai Wilayah Penza Oblast dari 1998 hingga 2015.

Vasily meninggal dunia pada usia 67 tahun akibat kanser paru-paru, 22 Jun 2016 dan selepas pemergian bapanya, Natalia menguruskan perniagaan pemprosesan kayu dan bakeri milik keluarga mereka.

Dua tahun lalu, Natalia turut menjadi tajuk utama berita apabila menjadi mangsa penipuan selepas membayar 136,000 pound (RM807,557) kepada seorang tukang tilik untuk menghapuskan sumpahan selama dua bulan.

Bagaimanapun, selepas menerima wang itu, tukang tilik terbabit memutuskan semua hubungan dengan Natalia dan gagal memenuhi sebahagian daripada perjanjian mereka, memaksa polis campur tangan.

Kematian wanita itu berlaku seminggu selepas Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Belarus, Aleksey Avramenko meninggal dunia secara misteri serta punca kematian belum didedahkan.

Selain itu, awal bulan ini, Ketua Pendakwa Raya Rusia, Andrey Fomin yang sedang berenang di Volga, sungai terpanjang di Eropah dilapor meninggal dunia namun puncanya bukan sebab lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 4:58 PM