MARIA Vladimirovna Vorontsova (kiri) dan Katerina Vladimirovna Tikhonova. FOTO Agensi
MARIA Vladimirovna Vorontsova (kiri) dan Katerina Vladimirovna Tikhonova. FOTO Agensi
Agensi

London: United Kingdom (UK) mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) dengan memperkenalkan sekatan baharu ke atas dua anak perempuan Presiden Rusia Vladimir Putin, Maria Vladimirovna Vorontsova dan Katerina Vladimirovna Tikhonova.

npr.org melaporkan kedua-duanya anak perempuan Putin dengan bekas isteri, Lyudmila Putina, seorang pramugari Aeroflot.

Mereka berkahwin pada 1983 sebelum berpisah tiga dekad kemudian.

Pegawai UK sedang menggubal larangan aset dan pembekuan perjalanan ke atas anak perempuan Putin serta anak perempuan kepada Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov.

Langkah itu diambil tepat dua minggu selepas mengenakan sekatan serupa ke atas anak tiri Lavrov dan ia berikutan gaya hidup mewah mereka.

"Selepas membekukan aset dan mengehadkan perjalanan sekutu Putin, kerajaan UK menyekat wang tunai membiayai konflik, sambil memastikan mereka yang mendapat manfaat daripada pemerintahan Putin menerima akibatnya," kata pegawai dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tindakan itu dibuat ketika negara Barat meningkatkan sekatan terhadap Rusia sebagai tindak balas kepada laporan tenteranya melakukan jenayah perang yang didakwa di Bucha dan bahagian lain di Ukraine.

Memetik analisis baharu, pegawai berkata, sekatan dikenakan ke atas Rusia dalam beberapa minggu dengan membekukan majoriti rizab mata wang asingnya, mencetuskan inflasi pesat dan meletakkannya di landasan untuk kemelesetan ketara.

"Pakej sekatan yang belum pernah berlaku sebelum ini membabitkan golongan elit dan keluarga mereka, sambil merendahkan ekonomi Rusia pada skala tidak pernah dilihat Rusia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet," kata Setiausaha Luar, Liz Truss.

UK menghentikan secara berperingkat import minyak dan produk minyak Rusia menjelang akhir 2022.

AS pula mengumumkan sekatan tambahan terhadap Rusia, berikutan dakwaan kekejaman dilakukan tentera Rusia di Ukraine.

"Kami percaya banyak aset Putin disembunyikan bersama ahli keluarga dan itulah sebabnya kami menyasarkan mereka," kata seorang pegawai kanan pentadbiran Biden dalam satu panggilan dengan wartawan pada hari Rabu.

Putin enggan mengaku secara terbuka mengenai nama anak namun Jabatan Perbendaharaan AS mengenal pasti identiti mereka.

Maria Vladimirovna Vorontsova adalah pakar endokrinologi pediatrik, manakala Katerina Vladimirovna Tikhonova adalah bekas penari kompetitif yang beralih bidang menjadi eksekutif teknologi.

Putin jarang bercerita perihal keluarganya dan banyak butiran mengenai anaknya itu menjadi rahsia serta jarang dikongsikan kepada umum.

Bagaimanapun, BBC melaporkan, Putin pernah bercakap perihal anaknya adalah ketika sidang media pada 2015.

"Anak perempuan saya tinggal di Rusia dan belajar hanya di sana, saya bangga dengan mereka. Mereka bertutur tiga bahasa asing dengan fasih. Saya tidak pernah membincangkan keluarga saya dengan sesiapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 7:50 AM