IBU pejabat Nato di Brussels. FOTO fail Reuters
IBU pejabat Nato di Brussels. FOTO fail Reuters
Reuters

London: Rusia mengancam melancarkan nuklear hipersonik jika Finland dan Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Amaran itu diberikan seorang daripada sekutu terdekat, Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada kepada Nato, semalam.

Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev berkata, sekiranya Sweden dan Finland menyertai pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat itu, Rusia akan mengukuhkan tentera darat, laut dan udaranya di Laut Baltic.

"Tidak ada apa boleh dirundingkan lagi tentang status bebas nuklear untuk Baltic. Keseimbangan mesti dipulihkan.

"Saya berharap Finland dan Sweden melihat ini secara wajar. Jika tidak ia terpaksa hidup dengan senjata nuklear dan peluru berpandu hipersonik berhampiran rumah," kata bekas Presiden Rusia dari 2008 hingga 2012 itu.

Menteri Pertahanan Lithuania, Arvydas Anusauskas berkata, ancaman Rusia itu bukanlah perkara baharu dan Moscow sudah mengerahkan senjata nuklear ke Kaliningrad sebelum perang di Ukraine.

"Senjata nuklear sentiasa disimpan di Kaliningrad... masyarakat antarabangsa, negara-negara di rantau ini, sangat menyedari perkara ini.

"(Rusia) menggunakannya sebagai ancaman," katanya dipetik dalam BNS.

Rusia mempunyai senjata nuklear terbesar di dunia dan bersama-sama China dan Amerika Syarikat adalah salah satu pemimpin global dalam teknologi peluru berpandu hipersonik.

Finland, yang berkongsi sempadan kira-kira 1,300 kilometer dengan Rusia dan Sweden sedang mempertimbangkan untuk menyertai pakatan Nato.

Perdana Menteri Finland, Sanna Marin berkata, mereka akan memutuskan perkara itu dalam beberapa minggu akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 11:00 AM