PUTIN berucap di perhimpunan di Moscow. FOTO AFP
PUTIN berucap di perhimpunan di Moscow. FOTO AFP
AFP

Moscow: Vladimir Putin memenangi pilihan raya yang diselar sebagai tidak sah oleh kuasa Barat, pada Isnin.

Bekas perisik itu memenangi lebih 87 peratus undi dalam undian tiga hari termasuk pengundian di bahagian Ukraine yang dikuasai oleh tentera Rusia.

Moscow menyatakan keputusan pilihan raya presiden hujung minggu sebagai bukti bahawa Rusia menyokong Putin, yang lebih dua tahun melaksanakan serangan di Ukraine.

Kemenangan Putin, 71, dijangka mengetatkan lagi cengkamannya terhadap Rusia, di mana perbezaan pendapat tidak lagi diterima.

Putin yang berkuasa sejak hari terakhir pada 1999, kini berada di landasan tepat untuk menjadi pemimpin Rusia paling lama berkhidmat dalam tempoh lebih dua abad.

"Berganding bahu, kami akan bergerak ke hadapan dan ini akan menjadikan kami lebih kuat... Hidup Rusia!" kata Putin kepada orang ramai di konsert pop di Dataran Merah, untuk meraikan 10 tahun pengilhakan Rusia ke atas Semenanjung Crimea daripada Ukraine.

Putin berbangga dengan rangkaian kereta api baharu di kawasan Ukraine yang ditawan oleh tentera Rusia dengan berkata, wilayah itu mengisytiharkan keinginannya untuk kembali ke 'keluarga asal'.

Beliau muncul di konsert itu bersama tiga calon yang bersaing dengannya untuk jawatan presiden.

Kesemua penentang utama Putin, sebelum ini sama ada meninggal dunia di dalam penjara atau hidup dalam buangan. Pengundian sebulan selepas pencabar utama Putin, Alexei Navalny meninggal dunia di dalam penjara.

Terdahulu, pihak berkuasa menyeru rakyat Rusia untuk mengambil bahagian dalam pengundian kerana tugas patriotik.

Undian selama tiga hari - juga diadakan di wilayah Ukraine yang diduduki - dicemari oleh undi rosak dan pengeboman Ukraine.

Dalam pada itu, Putin turut menerima ucapan tahniah daripada negara seperti China, Korea Utara, Venezuela dan Myanmar, kata media negara Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 12:24 PM