SEORANG penduduk melihat rumahnya yang musnah susulan serangan tentera Rusia di Pavlohrad, wilayah Dnipropetrovsk, Ukraine. FOTO Reuters
SEORANG penduduk melihat rumahnya yang musnah susulan serangan tentera Rusia di Pavlohrad, wilayah Dnipropetrovsk, Ukraine. FOTO Reuters
AFP

Moscow: Lebih 20,000 tentera Rusia maut, dan 80,000 lagi cedera dalam pertempuran lima bulan di timur Ukraine, khususnya di Bakhmut, kata seorang pegawai Rumah Putih semalam.

Presiden Rusia Volodymyr Zelensky berkata, pengumuman itu dibuat ketika serangan peluru berpandu Rusia di bandar timur Pavlohrad yang meragut nyawa dua individu dan mencederakan 40 yang lain,

"Peluru berpandu pengganas meragut nyawa dua orang, lelaki yang sangat muda.

"Manakala, 40 mangsa lain adalah wanita, kanak-kanak, lelaki, dirawat kerana luka dan kecederaan," kata Zelensky.

Serangan ke atas Pavlohrad, sebuah hab kereta api, berlaku semasa gelombang kedua serangan peluru berpandu di seluruh negara dalam tempoh tiga hari.

Zelensky berkata, remaja berumur 14 tahun terbunuh berhampiran sekolahnya apabila terkena bom di wilayah Chernihiv, dekat dengan sempadan Rusia.

Sistem pertahanan udara Ukraine berjaya menembak jatuh 15 daripada 18 peluru berpandu Rusia ke atas Kyiv, menurut angkatan tentera negara itu.

Bagaimanapun, di luar ibu negara, peluru berpandu Rusia membedil bandar Pavlohrad, mencederakan puluhan individu termasuk kanak-kanak.

Walaupun Ukraine baru-baru ini menerima sistem pertahanan peluru berpandu Patriot daripada Amerika Syarikat (AS), tidak jelas sama ada ia digunakan untuk menangkis serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 10:29 AM